Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, sebagai umat Islam, tuntutan untuk mengerjakan ibadah itu adalah penting dan perlu dilakukan tepat pada waktunya.

Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa terdapat dalam kalangan pihak sekolah yang tidak berbuat demikian dan hanya berhenti seketika semasa laungan azan sebelum meneruskan semula mesyuarat mereka.

“Kita perlu mengubah sikap kita ini. Saya memberitahu perkara ini kepada pihak PPD dan memintanya dipanjangkan kepada pengetahuan pengetua dan guru besar di sekolah. Ibadah solat ini bukan lama, tidak lebih 15 minit, jadi berhentilah untuk bersolat.

“Kalau kita menunaikan hak Allah terlebih dahulu, insya-Allah Allah akan permudahkan urusan-urusan diri kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan bagi kategori Musala Sekolah Rendah menjadi milik Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Putera, Rawang manakala Surau Sekolah Rendah diungguli SK Sungai Terap, Tanjung Karang, Selangor.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kundang, Rawang pula meraih johan kategori Musala Sekolah Menengah dan Sekolah Menengah Alam Megah, Shah Alam muncul johan kategori Surau Sekolah Menengah.

Dalam pada itu, Ahmad Tajudin berkata, dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah, 
beliau mencadangkan formula 2R iaitu hormat-menghormati (respect) dan tanggungjawab (responsible) untuk dijadikan rujukan pihak sekolah.

Katanya, formula tersebut dapat mewujudkan generasi pelajar yang menghargai persekitarannya serta menghindari daripada perbuatan merugikan seperti merosakkan harta benda.

“Melalui formula ini, kita mahu pelajar menghargai semua kemudahan yang diberikan di sekeliling mereka. Kita tidak mahu mereka membazirkan harta awam dengan gejala vandalisme kerana semua ini adalah hasil cukai rakyat,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Tajudin berkata, guru dalam masa sama perlu menjadi pembimbing pelajar ke arah kebaikan terutamanya dalam mempromosikan amalan perpaduan.

Kata beliau, pihaknya berdukacita dengan insiden yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, di Mersing, Johor yang menyaksikan seorang guru Melayu dibaling dengan buku dan alatan tulis oleh bapa anak muridnya baru-baru ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap isu tersebut. Saya ingin tegaskan bahawa sekolah adalah untuk semua kaum jadi kita kena terapkan perpaduan,” katanya.