Merah Dan Merah Jambu Warna TRW

KOTA BHARU: Merah dan merah jambu akan menjadi warna jersi pasukan Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia tahun ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pihak penaja baru-baru ini.
"Kita daftarkan warna jersi di tempat sendiri merah dan merah jambu manakala untuk warna jersi di tempat lawan warna biru dan merah jambu atas permintaan penaja.
"Selepas perbincangan diadakan dengan Datuk Seri Vida, beliau menerima dengan baik perkara itu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan persahabatan Kelantan dan Yala United di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1.
Sebelum ini, Annuar menerusi laman sosial Facebooknya mengumumkan jersi pasukan kekal dengan warna tradisi iaitu merah dan putih untuk jersi rasmi pasukan itu sepanjang saingan Liga M musim ini.
Bagaimanapun, Datuk Seri Vida mahu warna jersi pasukan Kelantan menggunakan warna merah jambu.
Dalam pada itu, Annuar memberi tempoh selama tiga minggu bermula hari ini untuk pihak kontraktor mengecat warna merah jambu bahagian dalam stadium.

Post a Comment

Previous Post Next Post