“Belia kita boleh buat kerja kotor tapi pastikan gaji setimpal” – MTUC

Kerajaan perlu menjalankan satu kajian bagi mengetahui punca belia tempatan enggan menceburi sektor perladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan yang kini dimonopoli pekerja asing, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha agungnya N. Gopal Kishnam berkata: “Ramai yang meletakkan stigma negatif bahawa anak tempatan tidak mahu bekerja di sektor ini hanya kerana ia kotor, sukar dan berbahaya atau 3D.

"Belia kita boleh buat kerja kotor tapi pastikan gaji setimpal" - MTUC

“Belia kita boleh buat kerja kotor tapi pastikan gaji setimpal” – MTUC

“Sebaliknya kalau kita perhatikan belia di kampung sebenarnya dari kecil lagi sudah biasa dengan pekerjaan sebegitu. Pasti ada sebab lain yang mempengaruhi mereka.” 

Antara perkara utama yang perlu dikaji ialah kadar gaji minimum kepada golongan belia untuk memastikan ia setimpal dengan bidang kerja di sektor separa mahir itu, kata Gopal ketika dihubungi. 

Beliau berpendapat gaji minimum sebanyak RM1,500 berserta elaun sara hidup sebanyak RM300 mampu menarik golongan belia menceburi sektor tersebut dan bersesuaian dengan keadaan semasa rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Lebih satu juta pekerja muda di negara ini memilih untuk bekerja di luar negara disebabkan tawaran gaji yang lebih tinggi walaupun terpaksa melakukan tugasan yang lebih berat. Ini bermakna isunya ialah belia hanya mahukan gaji yang mencukupi bagi menjamin kehidupan mereka,” katanya.

Gopal berkata majikan pula perlu menyediakan faedah yang bersesuaian dengan tugasan pekerja termasuk insurans pelindungan dan elaun.

“Ada yang menyalahkan belia kita hanya mampu bertahan dalam pekerjaan ini kurang tiga bulan. Bagaimanapun, sikap majikan yang memandang ringan skop tugas mereka juga memainkan peranan sehingga belia terpaksa memilih kerjaya lain,” katanya. 

Pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Askiah Jamaluddin berkata kerajaan perlu memantapkan sistem pendidikan vokasional bagi menyediakan golongan belia yang menepati rangkaian atau jaringan industri yang lebih menyeluruh.

Katanya pendidikan vokasional tersebut perlu memberi latihan secukupnya yang bersesuaian dengan skop pekerjaan untuk membiasakan mereka terlibat dalam sektor berkenaan.

“Sistem pendidikan vokasional harus mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar melalui latihan kemahiran yang khusus mengikut jurusan mereka,” katanya. — Bernama

Sumber : Malay Mail

Post a Comment

Previous Post Next Post