Kurang Senang Nyanyian Punca Kecoh

PERASAAN kurang senang dengan nyanyian yang didendangkan oleh penyokong setelah tamat aksi Liga Super antara Perak dan Selangor, 13 Februari lalu disyaki menjadi punca yang mendorong kepada insiden kekecohan di sekitar perkarangan Stadium Perak.
Exco Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Jamil Othman berkata, lagu yang didendangkan oleh kelompok penyokong berkenaan nyata dilihat sebagai satu ejekan atau perli pada skuad The Bos Gaurus ini.
Justeru menurutnya, lagu berkenaan nyata kurang sesuai didendangkan kerana jelas ia bagi cuba memprovokasi pihak lawan.
“Bagi saya kekecohan malam itu adalah percayai adalah berpunca daripada beberapa tindakan penyokong sendiri yang bertujuan untuk mengejek pasukan lawan.
“Oleh itu, pada perlawanan menentang Sarawak Sabtu ini (esok), saya berharap insiden seperti ini tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada kejadian berkenaan, dua penyokong Selangor dan seorang anggota keselamatan cedera akibat terkena balingan objek keras pada insiden berkenaan.
Dalam pada itu Presiden Die Hard Fanz (DHF) Roslan Mat Baharom menggesa penyokong Perak agar menghentikan tindakan ganas terhadap penyokong lawan yang bertandang ke Stadium Perak.
Katanya, penyokong Perak seharusnya menjaga nama baik pasukan dan sekali gus imej penyokong itu sendiri.
“Tindakan ganas akan hanya menimbulkan kerisauan, khususnya apabila kita pula yang bertandang ke stadium lawan kelak,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post