Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia Akan Dibina di Kuala Lumpur

Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia Akan Ada di Malaysia | KUALA LUMPUR – “Projek Warisan Merdeka bakal menjadi satu simbol kebangsaan dan manifestasi kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan berpendapatan tinggi,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana Menteri berkata Warisan Merdeka merupakan projek pembangunan hartanah strategik yang terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur dan bakal memainkan peranan penting dalam memanfaatkan dan memaksimumkan nilai simpanan tanah lapor Bernama.

Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia Akan Dibina di Kuala Lumpur
Menara Merdeka PNB118

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Greater Kuala Lumpur’ di bawah Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada 2010, projek pembangunan bandar Warisan Merdeka itu akan menjana limpahan ekonomi utama dan sampingan bagi negara kita,” katanya selepas melancarkan projek tersebut, di sini, Rabu. 

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. 

Najib berkata projek itu akan memulihkan dua bangunan warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara, membuktikan bahawa seni bina moden dan bangunan bersejarah boleh bergandingan bersama-sama. 

“Pada masa yang sama, kedua-dua pelaburan langsung asing dan domestik akan dijana menerusi aktiviti tokokan nilai tinggi dalam sektor perkhidmatan, yang akan meningkatkan nilai hartanah dalam kawasan Warisan Merdeka dan Segitiga Emas,” katanya. 

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia

Warisan Merdeka adalah projek yang dibangunkan oleh PNB di kawasan seluas 19 ekar (7.689 hektar) dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024. 

Fasa pertama projek tersebut yang melibatkan pembinaan menara 118 tingkat dan tujuh tingkat pusat membeli-belah dengan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion dijangka siap pada 2020. 

Selain melancarkan projek tersebut, Najib juga menamakan semula menara ikon 118 tingkat itu sebagai Merdeka PNB118 yang merupakan menara tertinggi di Malaysia, kedua tertinggi di Asia dan yang kelima tertinggi di dunia. 

Najib berkata bangunan ikon itu akan membantu memberi nilai kepada sesebuah bandar raya dan mempengaruhi cara orang berpandangan terhadap sesebuah bandar raya, memberikan kepada penduduknya mercu tanda yang boleh dibanggakan. 

Menurut Perdana Menteri, sebagai pembangunan mercu tanda ikon baharu bagi Malaysia, projek ini dijangka menambahkan lagi daya tarikan Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pelancongan. 

“Apabila seseorang menyebut menara ikon, apa yang sebenarnya dimaksudkan? Apa yang menjadikannya menara ‘ikon’? Rekaannya? Bentuknya? kisah atau sejarah di sebalik pembangunannya? 

“Barangkali, dalam hal ini, ia mungkin kesemuanya sekali. Tetapi ia juga adalah aspirasi, hasrat untuk mencapai kecemerlangan dan keazaman untuk membina sesuatu yang boleh diingati dan berkekalan, sesuatu yang boleh memberi nilai kepada Malaysia baharu,” katanya. 

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia
Menara Merdeka PNB118

Menara Merdeka PNB118, Bangunan Kelima Tertinggi di Dunia
Menara Merdeka PNB118

Dalam pada itu, Najib berkata projek Warisan Merdeka itu disifatkan antara pencapaian terbesar PNB sepanjang 38 tahun penubuhannya demi memajukan negara dan mensejahterakan rakyat. 

“Kewujudan PNB dan syarikat-syarikat pelaburannya secara tidak langsung telah menstrukturkan ekonomi dan sosio rakyat Malaysia. 

“Kini kita boleh berbangga melihat anak-anak Bumiputera meneraju, mengurus dan menjalankan operasi perniagaan dalam pelbagai sektor dan bidang ekonomi terpenting negara,” katanya. 

Perdana Menteri berkata walaupun PNB ditubuhkan dengan mandat untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, atas semangat perpaduan, unit-unit amanah PNB turut diperluaskan untuk langganan masyarakat bukan Bumiputera. 

Beliau berkata PNB telah berjaya menggembleng lebih 200 bilion unit amanah, hasil pelaburan rakyat 1Malaysia, daripada pelbagai kaum dan bangsa. 

Tambahnya, kesemua kejayaan yang dicapai PNB ini dan syarikat-syarikat Malaysia umumnya adalah bersandarkan kemampuan Kerajaan memastikan ekonomi negara terus berkembang. – BERNAMA 

Post a Comment

Previous Post Next Post