Pegawai kanan UKM akui pelajar mudah jadi mangsa seks pensyarah

Pelajar mudah jadi mangsa seks pensyarah, akui pegawai kanan UKM | BANGI, 21 Mac — Pelajar-pelajar universiti mudah menjadi mangsa gangguan seks apabila banyak urusan akademik terletak di tangan pensyarah, kata seorang pentadbir kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, timbalan naib canselor UKM, mengakui kebergantungan yang tinggi terhadap pensyarah membuka ruang si pelaku mengambil kesempatan ke atas pelajar. 

Pegawai kanan UKM akui pelajar mudah jadi mangsa seks pensyarah

“Punca gangguan seks yang sering berlaku di universiti adalah disebabkan pensyarah mengambil kesempatan terhadap pelajar yang memerlukan bantuan seperti ubah suai jadual atau susun atur subjek.

“Pensyarah biasanya meminta ganjaran seks daripada mereka dan perlakuan itu melanggar etika universiti.

“Jika aduan dibuat oleh mangsa, tindakan tatatertib akan diambil dan jika pensyarah itu didapati bersalah, pihak universiti boleh melucutkan jawatan serta membuangnya dari universiti,” katanya kepada Berita Harian.

Namun, tambah Noor Aziah, ramai mangsa gangguan seks di kampus tidak tahu saluran untuk mengadu masalah tersebut dan malah ada yang tidak berani meluahkannya kerana malu dan takut.

“[Pelajar] malu kerana berasakan maruahnya tercemar dan takut kerana pelakunya adalah pensyarah yang mempunyai kuasa untuk melulus serta menggagalkan subjek diambilnya,” beliau dilaporkan berkata.

Beliau menggesa mangsa gangguan seks tampil melaporkan kes tersebut kerana universiti menyediakan saluran yang bersesuaian.

Katanya, siasatan ke atas pelaku akan dilakukan secara telus tanpa mengganggu proses pembelajaran mangsa di universiti.

Post a Comment

Previous Post Next Post