Zahid AF2 Mahu Kekal Relevan

Bekas juara program realiti pertandingan nyanyian Akademi Fantasia musim kedua iaitu Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 36, kini kembali memeriahkan semula dunia seni nyanyian selepas tamat kontrak dengan radio ERA fm tahun lepas.

Selepas tamat kontrak sebagai penyampai radio, Zahid kini mengikat kontrak dengan label Suria Records Sdn Bhd (SRC) dan bakal mengeluarkan album mini dengan memuatkan enam buah lagu termasuk dua buah lagu single terbarunya hasil ciptaan DJ Fuzz dan Zul 2 By 2.

“Saya bakal mengeluarkan mini album dengan menampilkan enam buah lagu serta dua buah lagu terbaru berentak balada iaitu Biar Aku Tahu ciptaan Zul 2 By 2 dan Biasa ciptaan DJ Fuzz, ” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Baca: Zahid, Sarah Sah Bergelar Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz

Sehubungan itu, Zahid yang pernah meraih zaman kegemilangannya pada 12 tahun yang lepas, perlu mengatur langkah dengan lebih bijak untuk memasarkan lagu-lagunya. Ini kerana pendengar muzik sekarang mempunyai cita rasa yang berlainan.

“Suria Records (SRC) ada menyediakan rancangan untuk kekalkan saya dalam industri muzik dengan memberikan buah tangan yang kreatif dan unik. Saya rasa SRC pada kali ini berlainan tidak seperti dulu, sebab artis-artis di bawah naungannya masih muda.

“Jadi saya perlu mengeluarkan lagu sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan untuk satu lagu. Dengan cara itu, saya rasa barulah kita boleh kekal dalam industri. Manakala rentak-rentak lagu pun kena berlainan dengan setiap lagu sebelum ini,” ujarnya.

Beralih pula dalam perkembangan lain, Zahid dan isterinya Sarah Julifa Isa yang dikurniakan seorang anak lelaki, Zareef Nufael kini berusia setahun empat bulan, turut berkongsi, mereka mahukan empat orang cahaya mata.

“Itu semua rezeki, kalau mengikut perancangan kami memang mahukan empat orang anak,” katanya.

Untuk rekod, Zahid dan Sarah selamat diijabkabulkan pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan seorang permata hati.

Baca di website

Post a Comment

Previous Post Next Post