Jaslin Tertekan, Kurta Disangka Baju Kurung


Ewahewah, lama tidak dengar cerita mengenai pelakon kacak yang juga seorang model ini. Bekas finalis Hero Remaja sezaman Kamal Adli, Fizo Omar, Idris Khan dan Ammar Alfian Aziz ini sebenarnya giat berlakon dalam drama bersiri, klip video dan undangan sebagai peragawan. Malah, sebelum ini beberapa drama lakonannya turut mendapat perhatian ramai seperti Keluarga Pontimau, telefilem sempena Hari Guru menerusi TV9 berjudul Jangan Pergi, drama bersiri Jom Kahwin yang ditayangkan menerusi Hypp TV serta sebuah telefilem yang pernah meruntun jiwa penonton dahulu, Ramadan Terakhir yang dilakonkannya bersama Aeril Zafrel, Anzalna Nasir, Tasha Shila, Esma Daniel dan Fazlina Ahmad Daud. Ada sebuah lagi drama yang bakal ditayangkan hasil lakonannya bersama Nazrief Nazri bertajuk Tika Langit Terbuka.

Namun dalam kemeriahan Ramadan dan Syawal yang menjelang tiba, Jaslin Puasa tiba-tiba dilanda kontroversi apabila beberapa keping gambarnya dijaja ke seluruh media sosial. Gambar pemuda kelahiran Kota Tinggi, Johor ini menjadi bahan jenaka ramai kerana pakaian rekaan Waridi Hamdan yang diperagakannya bersama seorang lagi model yang juga Naib Juara Mister Planet Malaysia 2016, Asyraf Dasley disangkakan baju kurung. Tidak dinafikan, sekali pandang pakaian berkenaan memang seakan-akan baju kurung apatah lagi dikenakan dengan kain berona sama.

Kata Jaslin, selain 'baju kurung' yang sebenarnya adalah kurta, mereka juga ada memperagakan baju melayu rekaan pereka sama. Bagaimana pun, hanya gambar kurta yang dikongsi ramai seolah-olah mereka sengaja memakai 'baju kurung' seperti yang dimaksudkan. Gambar berkenaan turut dikongsi pereka berkenaan menerusi laman Facebook miliknya.

"Saya akui agak tertekan dengan perkara ini kerana ramai yang tidak tahu perkara sebenar. Sebagai seorang lelaki, mestilah saya menolak untuk berpakaian wanita apatah lagi ini membabitkan nama saya sebagai pelakon juga. Cuma, kurta yang saya dan Asyraf gayakan dibuat daripada fabrik lembut seolah-oleh baju kurung wanita. Saya harap orang ramai usahlah salah sangka dengan saya kerana saya hanya menjalankan tugas saya sebagai model sahaja," kata Jaslin yang mengakui setuju menjadi model rekaan itu untuk membantu rakannya.

Nampaknya mudah sungguh sesuatu perkara menjadi viral walaupun ada cerita di sebalik gambar. Apa pun diharapkan Jaslin dan semua model lebih berhati-hati pada masa hadapan. Maklumlah, selalunya gambar model yang tersebar dahulu berbanding wajah pereka. Pereka fesyen juga perlu berhati-hati dalam memperomosi rekaan, untuk mengelakkan kontroversi seperti ini berlaku.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post