Gaji RM44,000 sebulan dandan rambut presiden Perancis

Presiden Perancis, Francois Hollande sanggup membelanjakan hampir 10,000 euro (RM44,000) sebulan semata-mata untuk mendapatkan penjagaan rambut yang rapi dan sempurna, lapor sebuah akhbar mingguan Canard Enchaine semalam.

Presiden Perancis bayar pendandan rambut 10,000 euro sebulan

Presiden Perancis bayar pendandan rambut 10,000 euro sebulan

Rambut beliau yang pendek di tepi dan semakin menipis di bahagian tengah tidak pernah menjadi perhatian, tidak seperti ahli politik lelaki berprofil tinggi lain seperti calon presiden Amerika Syarikat Donald Trump atau bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Bagaimanapun kontrak pendandan rambut beliau yang hanya dikenali sebagai Olivier B yang didedahkan akhbar penyiasatan berkenaan mengundang persoalan dalam kalangan warga Perancis mengenai perbelanjaan boros presiden Sosialis itu.

Jurucakap kerajaan Stephane Le Foll, yang mengesahkan bayaran gaji berjumlah 9,895 euro (RM43,000) sebulan berkata, beliau memahami persoalan yang timbul dan turut memahami tanggapan rakyat.

Seorang ahli parlimen Barisan Kebangsaan berhaluan kanan (FN) menggelar Hollande sebagai “baginda” di Twitter, manakala pengguna lain meletakkan gaya rambut Afros, mullets dan beberapa gaya rambut lain pada gambar presiden, untuk “membantu pendandan rambut beliau mendapat gajinya”.

Sebahagian pengguna Twitter turut mencadangkan calon botak lain yang lebih menjimatkan wang pembayar cukai untuk jawatan presiden pada 2017, seperti pembangkang Republikan, Alain Juppe

Hollande sendiri dibayar gaji tahunan sebanyak STG 179,000 (RM788,000 ) setahun atau 14,900 euro (RM65,600) sebulan.

Canard Enchaine melaporkan selain gaji, pendandan rambut itu layak mendapat elaun perumahan dan manfaat keluarga.

Beliau yang bekerja sejak 2012 sering mengiringi presiden ke kebanyakan lawatan beliau ke luar negara. – Agensi

 

Sumber: BH Online



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post