“Indahnya kalau dapat basuh pinggan bertimbun dalam sinki pada Hari Raya…”

"Indahnya kalau dapat basuh pinggan bertimbun dalam sinki pada Hari Raya..."

“Indahnya kalau dapat basuh pinggan bertimbun dalam sinki pada Hari Raya…”

Salam 2 Syawal. Selamat hari raya buat semua yang menyambutnya. 

Ini kisah raya saya.
2008, tahun terakhir saya benar-benar menyambut raya. Saya yang pada ketika itu berusia 10 tahun, sedang bermain bunga api di luar rumah bersama abang saya yang ketika itu berusia 17 tahun. 
Kakak sulung dan ibu sedang memasak di dapur. Kakak kedua dan abang ketiga sedang sibuk mengemas rumah. Manakala ayah di masjid pada malam raya. 
1 Syawal, kami adik beradik bising berebut bilik air, beratur untuk gosok baju dan sama-sama berjalan kaki ke masjid untuk solat raya. Bermaaf-maafan, posing sana sini, riuh rendah sekali Aidilfitri kami pada masa itu. 
Ogos 2009, ayah saya kembali ke rahmatullah akibat dilanggar oleh Mat Rempit semasa dalam perjalanan ke masjid. Tahun itu, Aidilfitri kami disambut sederhana. 
2010, kedua-dua kakak saya berkahwin. Aidilfitri tahun itu hanya ada saya, abang-abang saya dan mak di rumah. Saya mula mengambil alih tugas-tugas kakak di usia 12 tahun. 
2011, abang-abang saya berkahwin. Aidilfitri tahun itu hanya ada saya dan ibu sahaja. Kakak-kakak dan abang-abang beraya di rumah mertua masing-masing kerana di sana lebih meriah dan memerlukan lebih banyak tenaga kerja. 
Malam raya, kami berdua. Kosong, hanya kedengaran sayup-sayup takbir raya. Ibu hanya masak rendang untuk menceriakan hati saya, katanya. Pagi raya, kami berdua hanya solat raya dan menziarahi sanak saudara. Tetapi saya bersyukur kerana masih ada ibu untuk menemani saya menyambut lebaran untuk Aidilfitri 2011, 2012 dan 2013. 
Ramadhan 2014, al-fatihah buat ibu yang pergi berpindah ke alam lain. 
Jiwa dan hati saya kosong. Rasanya bagi hanya udara di dalam badan. 
Aidilfitri 2014, saya yang ketika itu berusia 16 tahun hanya menyambut malam raya dengan tangisan. Buka Facebook, potret raya keluarga. Skroll ke bawah, masih lagi dengan potret raya keluarga. Harapnya itu keluarga saya, namun tidak. Tidak mungkin saya mampu untuk memuat naik potret raya keluarga saya. Kerana pastinya hanya ada saya sahaja di situ.
Panggilan telefon dari kakak-kakak dan abang-abang yang sedang beraya jauh dari rumah, saya abaikan. Harapnya itu panggilan dari ibu dan ayah, agar dapat saya mengadu tentang kakak-kakak dan abang-abang tinggalkan saya, rumah ini sunyi tanpa ibu dan ayah, supaya saya dapat memujuk mereka untuk kembali bersama saya dan tahu betapa rindunya saya pada mereka. Namun, harapan tinggal harapan. 
Aidilfitri 2015, juga sama, hanya hidangan air mata buat saya. 
Aidilfitri 2016, sekarang saya seorang pelajar IPTA. Bila semua roomates mula packing baju untuk balik, saya rasa kosong dan terpaksa balik juga. 
Sampai di rumah, kesunyian rumah itu sampai membingit telinga saya. Tiada apa-apa yang berubah. Masih tiada ibu ayah saya yang berada di pintu untuk menyambut saya. Masih tiada kakak-kakak yang akan hiaskan diri saya. Masih tiada abang-abang saya yang akan mengajak saya bermain bunga api. Hanya sebuah rumah besar yang kosong, sekosong jiwa saya. 
Macam biasa, Facebook dan Instagram menemani saya. Dapat lihat yang lain beraya dengan keluarga masing-masing pun sudah menggembirakan saya. Dengan gambar-gambar itu saya dapat bayangkan kalau semua keluarga saya berkumpul. Pasti meriah, pasti banyak cerita yang didengar. 
Saya baru berusia 18 tahun, tak tahu sama ada saya mampu ntuk melalui alam dewasa bersendirian. Indahnya kalau saya dapat membasuh pinggan yang bertimbun dalam sinki pada hari raya kerana itu bermakna. Masih ada yang sanggup beraya dengan saya. 
Hargailah masa awak-awak semua mendapat peluang untuk membasuh pinggan di hari raya, dapat peluang bekerja keras di hari raya kerana siapa tahu awak jadi macam saya. Hari raya hanyalah solat raya. Selebihnya hanya di kubur dan air mata. – Chiqah


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post