Kenyataan Najib bahawa Tun Mahathir adalah ‘kaki gaduh’ pastinya disokong semua pihak – Ismail Sabri

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan seorang bekas pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai kaki gaduh, pastinya disokong semua pihak.

Beliau berkata melihat kepada sejarah, bekas pemimpin negara itu telah bergaduh dengan empat perdana menteri termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga timbalan perdana menteri termasuk Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Najib bahawa Tun Mahathir adalah 'kaki gaduh' pastinya disokong semua pihak - Ismail Sabri

Kenyataan Najib bahawa Tun Mahathir adalah ‘kaki gaduh’ pastinya disokong semua pihak – Ismail Sabri

“Saya percaya tak ada orang yang akan mengatakan sebaliknya daripada apa yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)…semua perdana menteri dia gaduh, gaduh dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang dengan Datuk Seri Najib.

“Tahun 1990 isu perlembagaan, bergaduh dengan semua Raja-Raja Melayu, dari segi kehakiman bergaduh dengan semua hakim waktu itu apabila dia memecat hakim dan sebagainya, dengan raja bergaduh, dengan perdana menteri bergaduh, dengan timbalan perdana menteri bergaduh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib yang juga Presiden UMNO semalam yang menyifatkan seorang bekas pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai kaki gaduh.

Najib berkata ini kerana pemimpin berkenaan sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata beliau percaya tiada rakyat Malaysia yang menafikan kenyataan itu.

“Bukan sahaja perdana menteri, Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) pun dalam titahnya menyatakan beliau kaki gaduh…jadi semua orang berpendapat sama bukan sahaja saya saja tapi semua orang,” katanya.

Di KUANTAN, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan anggota parti terutama pergerakan Pemuda supaya tidak mudah termakan hasutan bekas pemimpin parti yang dilihat sengaja merungkai kekuatan ‘jemaah’ parti.

Berucap merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan di sini malam tadi, beliau yang juga timbalan menteri luar berkata anggota UMNO perlu bijak mendepani dan menanganinya jika tidak mahu UMNO dan negara khasnya menerima nasib sama seperti sesetengah negara Islam lain yang kini porak peranda akibat hasutan sehingga berlaku perpecahan dalam kalangan rakyatnya.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, timbalannya Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar dan naib ketua UMNO bahagian Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ketua Pemuda bahagian Nara @ Nikman Nordin.

“Sejarah di zaman sahabat Rasulullah telah membuktikan Saidina Uthman Ibn Affan sendiri telah dibunuh dalam keadaan menyayat hati, hanya disebabkan hasutan seorang yang berpengaruh ketika itu menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam selepas itu.

“Begitu juga dengan cabaran yang didepani oleh UMNO ketika ini, kita perlu elak daripada menjadi mangsa hasutan, jika tidak mahu perjuangan parti yang sebegini panjang terungkai hanya disebabkan hasutan yang dilakukan oleh individu yang berpengaruh dalam parti sebelum ini,” katanya.

Di BUTTERWORTH, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau yakin tidak ada anggota dan pemimpin parti akan beralih menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia walaupun ada usaha menarik mereka menyertai parti pembangkang baharu itu.

Beliau yakin bukan sahaja anggota parti menyokong UMNO dan Barisan Nasional, malah pengundi senyap turut menyokong UMNO dan BN.

Penubuhan parti pembangkang baharu itu tidak akan memberi ancaman mahupun menggugat kesetiaan dan ketaatan anggota UMNO sehingga melompat parti, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan.

Di JEMPOL, negeri Sembilan, UMNO Bahagian Jempol berikrar berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan meskipun UMNO kini dicabar bekas pemimpin yang mahu merosakkan parti, namun yakin UMNO tetap utuh di bawah kepimpinan Najib.

Ketua UMNO Bahagian itu Senator Datuk Mohd Salim Sharif berkata: “Ini rumah kita, UMNO adalah rumah untuk orang Melayu bernaung, Kita kena sokong tanpa belah bahagi kepada Presiden dan menolak campur tangan asing di negara ini.

“Ini negara kita, buat kita yang tentukan. Kita kena bersatu padu dan matlamat akhir kita adalah untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada persidangan perwakilan UMNO bahagian itu hari ini. – BERNAMA

Sumber: Mynewshub



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post