Potong bajet JPM bukan suruh PIBG kutip derma

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mencadangkan bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berjumlah RM20.3 bilion tahun ini dikurangkan atau dipotong bagi membayar perbelanjaan untuk infrastruktur sekolah.

‘Potong bajet JPM bukan minta PIBG cari duit’

‘Potong bajet JPM bukan minta PIBG cari duit’

Katanya, adalah tidak masuk akal seperti cadangan seorang menteri supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru Persatuan (PIBG) pula melaksanakan program mengutip dana daripada orang awam untuk membantu sekolah menyelesaikan masalah pengurusan infrastruktur.

“Kerajaan sewajarnya mengambil sebahagian daripada peruntukan RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri untuk digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas idea Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang mencadangkan supaya dana dikutip oleh PIBG sekolah bagi mempercepatkan pembiayaan bagi infrastruktur sekolah, sementara menunggu dana persekutuan.

Lim berkata rakyat tidak memerlukan seorang menteri yang sebaik sahaja dilantik, berhasrat mahu memerah rakyat yang sudah sedia terbeban dengan masalah kewangan.

Katanya, adalah langsung tidak masuk akal apabila kerajaan lebih sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk menghantar angkasawan menikmati roti canai di angkasa lepas, serta membina menara pencakar langit KL118 yang akan menjadi bangunan tertinggi di negara, tetapi enggan menyediakan khidmat asas kepada negara dengan memberikan pelajar kemudahan tempat belajar yang sesuai.

“Tidak masuk akal juga apabila menteri yang baru dilantik semula ini cuba menunjukkan kerisauannya terhadap kekurangan dana kerajaan untuk menyelenggara sekolah.

“Sedangkan keseluruhan kabinet langsung tidak peduli dengan dakwaan kecurian AS$3.5 bilion daripada dana berdaulat negara, yang dilaporkan telah digunakan untuk membayar hutang judi dan membeli lukisan mahal sebagai hadiah untuk individu tertentu,” katanya.

Beliau menunjuk pelbagai pemotongan bajet tahun ini ke atas sektor pendidikan sehingga menjejaskan sekolah-sekolah dan institusi pengajian awam, sedangkan bajet untuk JPM meningkat 7.6 peratus daripada RM19 bilion pada 2015 kepada RM20.3 bilion pada 2016.

Beliau juga mengeluh dengan kehadiran sembilan orang menteri di JPM yang berfungsi untuk bercakap sahaja, dengan bermodalkan wang pembayar cukai.

 

Sumber: Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post