Peminat fanatik sayang Erra Fazira tanpa batas, sanggup berhabis wang untuk beli koleksi CD, majalah dan tonton konsert

HATINYA bukan mudah untuk meminati seorang selebriti apatah lagi mahu menyanjungi setinggi langit. Akan tetapi, figura wanita tinggi lampai dan terkenal dengan julukan Primadona Filem Melayu iaitu Erra Fazira berjaya mengubah persepsinya secara 360 darjah.

Ruangan Diaku Puja minggu ini begitu mengagumi perkongsian seorang wanita bernama Juliana Jaafar yang secara jujur mengaku tak mudah untuk dia ‘memuja’ seorang bergelar artis melainkan Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik.

 

Image result for Sayang Erra tanpa batas

Image result for Sayang Erra tanpa batas

Image result for Sayang Erra tanpa batas

Peminat fanatik sayang Erra Fazira tanpa batas, sanggup berhabis wang untuk beli koleksi CD, majalah dan tonton konsert

Peminat fanatik sayang Erra Fazira tanpa batas, sanggup berhabis wang untuk beli koleksi CD, majalah dan tonton konsert

 

 

“Saya seorang yang susah nak minat artis tapi bila pertama kali melihat lakonan Erra di dalam filem Sembilu pada 1995, saya jadi ingin tahu siapa dia sebenarnya.

“Saya memandang seseorang bukan dari paras rupa tetapi dari mata hati dan keikhlasan. Zaman dahulu mana ada teknologi sangat jadi majalah dan akhbar menjadi sumber rujukan untuk lebih mendekati dia.

“Bayangkanlah, jika hanya ada ruangan kecil berita mengenai Erra pun saya akan membeli dengan jumlah yang banyak dan akan simpan di dalam buku skrap yang dibuat khas,” tutur wanita berusia 40 tahun itu.

Malah ujarnya lagi, dia tidak kisah jika sebahagian wang gajinya dibelanjakan hanya untuk memberi sokongan kepada pelakon filem Mr.Cinderella dan menganggap ia amat berbaloi buat dirinya.

“Saya langsung tak rasa ralat jika duit gaji dihabiskan dengan membeli majalah dan surat khabar yang ada memaparkan wajahnya. Dah memang minat dengan hati tulus ikhlas jadi saya tak rasa rugi.

“Bila saya buat macam itu, timbul satu kepuasan dalam diri selain menjadikan sumber inspirasi untuk saya terus gembira.

“Saya akan membeli tiga majalah yang sama di mana dua daripadanya akan digunting dan tampal di dalam album serta di dinding bilik.

“Manakala yang lagi satu itu saya akan simpan sebagai koleksi majalah. Waktu bujang dulu mak cukup faham dengan minat saya dan memang akan ada ruangan di bilik untuk dijadikan tempat koleksi,” ujarnya berkongsi minatnya itu.

Insiden rumah keluarganya yang terbakar sekitar tahun 1995 menyebabkan hampir sebahagian koleksinya hangus dijilat api tanpa meninggalkan sebarang kenangan.

Namun kejadian itu tidak membuatkan Juliana patah semangat untuk cuba mencari semula koleksi yang sama seperti kaset dan cakera padat (CD) penyanyi dan pelakon jelita yang pernah menyandang gelaran Ratu Cantik Malaysia 1992 itu.

“Sedikit sedih dan terkilan bila banyak koleksi saya bersama Erra sudah tiada lagi sewaktu awal kemunculannya dulu.

“Zaman dahulu kan guna kodak jadi tiada salinan lagi untuk gambar-gambar sedia ada. Tapi saya ada juga pergi kedai menjual kaset dan CD serta kedai buku untuk membeli semula sebahagian koleksi yang sudah hangus itu,” ujarnya.

Terdorong dengan status Erra yang merupakan seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan puteri tunggalnya bernama Engku Aleesya menguatkan lagi rasa sayang Juliana terhadap pelakon filem Cinta Kolestrol itu.

“Kredibiliti dan dari segi aura yang ditonjolkan dekat masyarakat itu buatkan saya bangga dengan dirinya.

“Walaupun dia berasal dari kampung dan bukan orang senang tapi dia naik melalui usaha sendiri.

“Tak kisahlah apa pun persepsi orang, saya mengenali dia daripada mata hati dan percaya dia seorang yang kuat, seorang ibu tunggal berdedikasi dan berwawasan.

“Kalau hendak diikutkan di dunia, dia dah peroleh apa yang diinginkan. Sekarang ini dia cuba untuk penuhi ruang akhirat dengan menghadiri kelas agama,” kongsi Juliana yang berasal dari Temerloh, Pahang dan telah menetap di Gombak, Selangor.

Dari zaman anak dara hinggalah sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata, Juliana tidak pernah merasakan rutin harian sebagai seorang isteri serta ibu itu sedikit sebanyak membuatkan dia lupa dengan minatnya itu.

“Alhamdulillah saya dikurniakan seorang suami yang memahami dengan minat isterinya. Saya dan suami buat konsep tak akan kacau minat masing-masing asalkan tanggungjawab di rumah tak lupa.

“Saya dan suami terapkan sikap toleransi. Syukur kalau apa sahaja acara yang melibatkan Erra, suami akan tetap beri keizinan untuk saya pergi walaupun terpaksa pulang ke rumah lewat pagi,” jelasnya.

Jangan tak tahu, sebagai seorang peminat sejati dan salah seorang kelab peminat Bersama Erra sejak 2013, Juliana pernah membelanjakan sebanyak RM1,200 semata-mata mahu menonton persembahan Erra di Istana Budaya.

“Saya bawa suami dan anak untuk tonton Konsert Teaterikal Suara Kita dua tahun lalu dan membelanjakan RM1,200 untuk kami tiga beranak hanya semata-mata mahu tonton persembahan Erra pada malam itu.

“Sebagai tanda sokongan, saya turut menjadi salah seorang ejen sah minyak wangi Forget Me Not dan Loveable. Sesiapa yang berminat, boleh hubungi saya di 011-23627594 atau di Instagram @anajuliana76.

“Jatuh bangun Erra di dalam industri dan selagi dia boleh menerima peminatnya di luar saya, insya-Allah saya akan tetap menyokong dia. Selagi hayat dikandung badan, sayang saya pada dia tak akan pernah berubah,” akhirinya.

Sumber: Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post