Tengku Permaisuri Norashikin yang tiba bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.20 pagi kelihatan anggun dengan jubah dan selendang berwar­­na hitam.

Wajahnya yang sentiasa me­nguntum senyuman membuatkan ramai yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambarnya.

Sementara itu, kira-kira 4,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid tersebut yang diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Jumaat lalu, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais mengumumkan pemasyuran gelaran Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor berkuat kuasa 8 September lalu setelah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin.

Selain pemasyuran gelaran Tengku Permaisuri Selangor, baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Tengku Permaisuri Norashikin.

Pada 31 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin, 71, melangsungkan pernikahan dengan Tengku Permaisuri Norashikin, 45, dalam satu majlis yang diadakan secara ringkas dan sederhana di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.