Gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan Umno Langkawi?

Gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipercayai diturunkan daripada Bangunan Umno Langkawi.

Perkara itu diviralkan di akaun Facebook ‘Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad’ sejak kelmarin dengan perkongsian 218 pengguna setakat jam 3.58 petang, semalam.

Gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan Umno Langkawi?

Gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan Umno Langkawi?

Viral itu menunjukkan gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan daripada koleksi pemimpin Umno yang pernah menjawat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah.

Kebanyakan netizen mengecam tindakan itu dengan menyifatkan ia sebagai keterlaluan apabila cuba menghapuskan sejarah yang berkaitan dengan Tun Mahathir.

Terdapat juga netizen yang mendakwa ia kemungkinan disebabkan Tun Mahathir dan Mukhriz tidak lagi bersama Umno apabila membentuk parti Bersatu.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang arahan untuk menurunkan gambar Tun Mahathir dan Mukhriz daripada koleksi di bangunan berkenaan.

“Saya tak perasan pula gambar mereka diturunkan sebab saya belum masuk pejabat (Umno). Mungkin mereka nak cuci tempat itu dan turunkan gambar itu sementara.

“Saya akan periksa perkara ini, tapi memang tak ada arahan yang meminta supaya gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pemimpin berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah Malaysia dan tidak ada keperluan untuk digugurkan gambar mereka.

Sumber: Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post