Mya Matahari akur jika nama digam Astro kerana tak puas hati dengan Gegar Vaganza

Penyanyi, Mya Matahari sedia menerima keputusan stesen televisyen Astro jika namanya disenarai hitam pihak berkenaan ekoran tindakannya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara penganjuran program Gegar Vaganza (GV).

Mya yang sebelum ini dikenali sebagai Maya Matahari berkata, dirinya tidak menyesal dengan kenyataannya terbabit kerana menyifatkan ia sebagai luahan hatinya.

Mya Matahari akur jika nama digam Astro kerana tak puas hati dengan Gegar Vaganza

Mya Matahari akur jika nama digam Astro kerana tak puas hati dengan Gegar Vaganza

“Tak tahu pula Astro mahu ‘gam’ nama saya. Tetapi seandainya ia benar, saya menerimanya dengan hati terbuka. Terpulang pada mereka.

“Saya cuma bercakap mengenai sesuatu yang perlu diluahkan kerana saya bukannya baharu dalam industri. Apa salahnya dengan luahan itu? Pihak berkenaan sebenarnya dapat memperbaiki lagi cara penganjuran mereka,” katanya yang dihubungi BH Online, petang tadi.

Mya berkata demikian ketika mengulas artikel dalam ruangan gosip sebuah akhbar, hari ini, yang menyatakan ada desas-desus penyanyi yang sudah pun lebih dua dekad berada dalam industri seni itu digam oleh stesen berbayar terbabit gara-gara kenyataan dikeluarkan olehnya.

Rabu lalu, Mya menerusi laporan BH Online meluahkan rasa terkilan dengan layanan pihak penganjuran program popular terbabit selepas menyertai uji bakat musim kedua dan ketiga.

Menerusi laporan itu, Mya berkata dirinya menerima hakikat apabila tidak diterima masuk GV3, cuma beliau mempersoalkan layanan yang diterima daripada sesi uji bakat program berkenaan.

Ekoran kenyataan itu, pihak Astro turut tampil menjelaskan tiada unsur pilih kasih yang berlaku ketika proses pemilihan peserta GV3 dan Mya gagal menyertainya kerana tidak melepasi syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, kata Mya, beliau harap pada masa akan datang, pihak penganjur akan lebih peka terhadap cara layanan mereka kepada peserta yang terbabit dalam program itu.

“Mungkin orang luar tidak faham mengenai situasi yang saya lalui. Tidak mengapalah. Cuma saya berharap pihak penganjur, tidak kisah mana-mana program sekalipun, apabila menjemput seseorang datang menjalani uji bakat, apa salahnya kita diberitahu walaupun tidak terpilih.

“Janganlah meninggalkan tanda-tanya sehinggalah kita sendiri mendapat tahu, pemilihan sudah pun dibuat.

“Saya bukan bercakap untuk diri saya saja, tetapi mewakili peserta lain. Ada yang jauh datang ke ibu kota untuk mencuba nasib. Maklumlah, semua tahu, GV satu platform besar untuk penyanyi lama menaikkan kembali nama mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mya kini dalam proses menyiapkan video muzik lagu duet bersama Saida berjudul Setia.

Mya popular sekitar tahun 90-an dengan lagu Diari Biru dan Matahari, selain pernah mengeluarkan tiga album iaitu Satu Jam Lagi (1995), Sinar Cinta (1998) dan Mata Maya (2010).

Sumber: Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post