Rosmah Mansor seru anak muda kerja keras majukan negara

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihati golongan muda supaya tidak berputus asa dalam usaha memajukan negara dan menyatupadukan masyarakat.

Rosmah Mansor seru anak muda kerja keras majukan negara

Rosmah Mansor seru anak muda kerja keras majukan negara

Beliau berkata sebagai kelompok populasi terbesar di Malaysia, mereka harus mara ke hadapan dan bukannya berpecah belah.

“Pastinya, peranan mereka terhadap negara amat diperlukan. Justeru itu, keutuhan jati diri perlu ada dalam diri generasi muda supaya dapat menjadi benteng pertahanan buat mereka.

“Selain itu, anak-anak muda juga haruslah memiliki sifat kemahuan untuk

berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Hadiah dan Perasmian Penutup Program Malaysia Di Hatiku di sini, malam tadi.

Program Malaysia Di Hatiku, yang berlangsung selama sebulan, adalah anjuran Kelab Generasi Ilmu 1Malaysia (KGI1M) yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada 21 Ogos lepas.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang

Pertandingan Foto Kreatif dan Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 1Malaysia yang berlangsung sepanjang program Malaysia Di Hatiku dari 25 Ogos hingga 25 Sept lepas.

Pemenang Pertandingan Foto Kreatif, Muhammad Hasbi Mohmad Omar, 28, ketika ditemui wartawan berkata beliau merasa bangga dengan Malaysia dan menjadikannya inspirasi bagi setiap foto yang diambilnya.

“…Saya sangat berbangga dengan pencapaian Malaysia sekarang. Kita kena bangga dengan bendera negara kita, lambang dan jati diri kita,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Bagi pemenang kategori B (untuk peserta berusia 13 hingga 17 tahun) Pertandingan Mengarang Esei, Syed Ahmad Nashril Izzat Syed Adnan, 13, berkata pertandingan itu memberi ruang kepada rakyat untuk berkarya dan menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Semangat patriotisme perlu dididik sejak kecil agar ia dapat memupuk semangat cintakan negara, bebaskan negara daripada penjajah dan melahirkan masyarakat yang peka terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan negara,” katanya.

Syed Ahmad Nashril Izzat dari Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Pahang, turut membawa pulang cek bernilai RM3,000, trofi dan sijil.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan bagi pertandingan mengarang esei iaitu kategori A (tujuh hingga 12 tahun), kategori B (13 hingga 17 tahun) dan kategori C (Terbuka).

Sementara itu, Presiden KGI1M Syahrin Md Jamaluddin dalam ucapannya berkata kempen Malaysia Di Hatiku adalah platform untuk rakyat menzahirkan semangat kecintaan mereka kepada negara melalui penulisan dan karya fotografi.

Pertandingan Foto Kreatif bertemakan #SaluteMalaysiaDiHatiku dan Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 1Malaysia berjaya menarik sebanyak 2,643 penyertaan dari seluruh negara dengan 2,043 daripadanya adalah penyertaan foto kreatif. — Bernama

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post