Baru-baru ini, sedang Poklip duduk minum teh tarik dengan kawan, dia pun buka cerita tentang perangai Ruhainies. Bukan pasal cinta, tetapi sikap tidak profesional si pelakon itu.

Poklip awal-awal cakap, kalau pasal cinta, tutup buku sahajalah. Tidak kuasa dah hendak tahu. Tapi ini cerita lain. Ruhainies dikatakan memungkiri janjinya untuk menjalani satu sesi fotografi sebuah majalah.

Ceritanya, pelakon Menantu Ting Tong ini sudah bersetuju untuk sesi fotografi tersebut, tetapi dia masih lagi tidak memberi tarikh yang sesuai. Puas ditanya, Ruhainies hanya berdiam diri.

Jadi kesudahannya janji hanya tinggal janji. Sudahlah tidak melayan pertanyaan, Ruhainies dikatakan hanya diam membisu tanpa alasan. Sampai ke sudah, fotografi tersebut terpaksa dibatalkan.

Malah, ada pula wartawan yang berkecil hati dengan pelakon Hello, Mr. Perfect ini. Janji hendak membalas pesanan WhatsApp, tapi tunggu punya tunggu, berhabuk jadinya. Sentaplah kawan itu!

Tapi rasanya ini bukan kali pertama Ruhainies buat perangai. Dengar khabar, ada juga beberapa penganjur kurang berpuas hati dengan sikap tidak profesional pelakon itu. Susah bagi komitmen!

Poklip tidak tahu kebenaran cerita ini. Setakat hari ini, Ruhainies tidak memberi apa-apa masalah. Kalau telefon, selalu angkat sahaja. Mungkin ‘teman tapi rapat’ Azrel Ismail ini ada alasan sendiri.

Janganlah disebabkan cerita demi cerita seperti ini, nama awak yang baru hendak bercambah mekar dalam industri seni merudum. Sekarang ini pun ramai pesaing. Artis baharu tumbuh macam cendawan selepas hujan sahaja tau!

SOLOK LADA: Terkesima melihat wajah seorang artis senior ini. Sungguh ‘sempurna’ hidung dan bentuk wajahnya. Berbeza dengan penampilannya ketika awal kemunculan. Semakin tua semakin runcing kata orang!