Shuib banyak ubah saya - Siti Sarah Raisuddin

Shuib banyak ubah saya – Siti Sarah Raisuddin

Tempoh enam tahun bukan satu tempoh singkat malah penyanyi berusia 32 tahun ini sendiri mengakui, itu waktu yang banyak memberikan pelajaran dan pengajaran buat dirinya dalam membentuk jati diri sebagai seorang manusia yang lebih baik.

Sedar bahawa ramai yang merindui kewujudannya dalam seni suara, Sarah akui sudah bersedia untuk beraksi semula sebagai penyanyi setelah lama berehat dan menyepi.

Berkongsi mengenai tempoh enam tahun itu, kata Siti Sarah Raisuddin, dia membuat keputusan untuk tidak lagi aktif di pentas nyanyian kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga dan anak-anak yang sedang membesar.

Tidak cuma itu, Sarah juga akui, dia banyak bermuhasabah demi memperbaiki diri.

“Saya rasa saya banyak lakukan kesilapan, dari semua sudut dalam hidup saya. Melihat wajah-wajah mereka yang selama ini banyak membantu menaikkan saya, sumpah saya tak akan pernah lupakan jasa baik mereka semua.

“Tapi saya manusia biasa, tak lari daripada kesilapan. Saya macam tak jaga dan prihatin dengan perasaan orang, banyak sakitkan hati orang selama ini, saya akui saya belajar banyak daripada kesilapan yang saya lakukan dulu.

“Dari situ, saya belajar betapa bagus sekali pun kita tapi kalau kita tak jaga sikap, kita tak akan pergi ke mana,”katanya sambil mengesat air mata.

Melihat Datuk Siti Nurhaliza sebagai contoh terbaik, kata Sarah, dia selalu mengagumi penyanyi itu yang tidak pernah lokek dengan senyuman dan merendah diri biarpun sudah berada pada satu kedudukan tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

“Kenapa Datuk Siti masih bertakhta di hati peminat dan semua orang? Kerana dia mempunyai sikap yang sangat dihormati dan baik dan tiada orang boleh pertikaikan perkara tersebut.

“Cakap pasal bakat, ya, kita memang sentiasa ada bakat baharu tetapi mengapa Datuk Siti tetap jadi nombor satu dan masih menjadi terbaik dalam kalangan terbaik?

“(Kerana) dia memiliki kerendahan hati dan memang patut dijadikan contoh,” katanya.

Mengakui sejak bergelar isteri kepada pelawak Shuib, kata Sarah, suaminya itu telah banyak mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik dan tunduk pada akar umbi diri.

Menganggap dirinya bertuah kerana dikurniakan suami seperti Shuib, Sarah sedar dia telah membuat keputusan yang tepat ketika menerima lamaran Shuib enam tahun lalu sehingga kini dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 5, Dzahira Talita Zahra,3, dan si bongsu, Ariq Matin, 11 bulan.

Menyifatkan Shuib seorang yang sangat penyabar dalam melayan kerenahnya, Sarah juga bersyukur kerana suaminya itu mampu menggalas tanggungjawab dengan baik selain amat prihatin dengannya dan anak-anak.

“Dia banyak ubah cara hidup saya bahkan saya sebagai artis pun, saya banyak belajar daripada dia.

“Saya dapat rasakan, diri saya sekarang jauh lebih baik daripada dulu kerana dia,” katanya berkongsi rasa.

Anak- anak

BERCERITA mengenai kehidupannya sebagai ibu, kata Sarah, memandangkan dia sudah membuat keputusan untuk membuat kemunculan semula dalam bidang muzik, dia tahu masa untuk anak-anak akan terhad lantaran perlu kembali bekerja.

Bagaimanapun kata Sarah, dia sudah berbincang dengan Shuib untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak mereka dan kerjaya seninya juga mungkin akan disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Kata Sarah, soal itu tidak menjadi masalah kerana baginya, asalkan dapat melihat anak membesar di depan mata dan tidak kehilangan momen-momen penting tumbesaran anak, dia yakin boleh menguruskan kerjaya seninya dengan baik.

“Kalau boleh memang mahu selalu dengan mereka apalagi selama enam tahun saya menyepi, saya memang jadi suri rumah menjaga suami dan anak-anak.

“Masa itu saya rasa bahagia kerana dapat melihat mereka membesar di depan mata. Itu adalah antara nikmat-nimat Allah SWT yang saya dapat rasakan.

“Daripada anak dilahirkan, merangkak, berjalan sehingga sekarang, saya bersyukur tak pernah terlepas momen itu. Orang kata menjadi ibu itu memerlukan pengorbanan yang tinggi tapi bagi saya memang itu satu tanggungjawab.

“Paling penting, menjadi ibu sebenarnya memberi kegembiraan buat saya,” katanya lagi.

Sekadar berkongsi, kata Sarah, anak perempuannya memang seorang ‘Ratu Drama’. Malah kata Sarah, silap hari bulan, memang boleh jadi pesaing hebat pelakon cilik yang sedia ada dalam industri.

“Anak-anak saya mewarisi bakat seni daripada saya dan Shuib. Tapi saya tak pasti lagi sama ada mahu galakkan mereka ceburi bidang ini atau tidak.

“Lihat sahajalah nanti,” katanya.