“Ada kalanya kami makan nasi lauk kicap atau budu saja hingga anak menangis tak mahu makan”

“Ada kalanya kami sekeluarga makan nasi berlaukkan kicap atau budu saja sehinggakan anak menangis tak mahu makan. Saya hanya mampu memujuk mereka bersabar dengan segala kesusahan dilalui ini,” luah Ramlah Abdullah, 36.

 

“Ada kalanya kami makan nasi lauk kicap atau budu saja hingga anak menangis tak mahu makan"

“Ada kalanya kami makan nasi lauk kicap atau budu saja hingga anak menangis tak mahu makan”

 

Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, kesempitan hidup dilaluinya sekeluarga bukan sekadar menyebabkannya menangis sendirian apatah lagi mengenangkan anak-anak tetapi juga terpaksa menebalkan muka meminta duit daripada keluarga mentua di Kelantan.

“Suami, Mohd Shuhaimi Mohd Saufi, 34, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Berang dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Cukup atau tak, duit itulah digunakan untuk belanja barangan dapur dan keperluan harian termasuk persekolahan anak-anak.

“Empat anak, Nur Aliya Nazipa, 10; Nur Aliya Amirah, 8; Nur Aliya Nazimah, 6, dan Muhammad Sadruddin, 4, masing-masing bersekolah. Manakala anak bongsu, Nur Aliya  Naizatul Najwa, 2, masih memakai lampin pakai buang, namun ada kalanya terpaksa juga guna lampin biasa,” katanya.

Berhenti kerja akibat masalah kesihatan

Ramlah berkata, apabila keadaan memaksa, dia sekadar mampu menghidangkan anak-anak nasi berlaukkan kicap atau budu sahaja.

“Hati ibu mana tak tersentuh bila tengok anak menangis tak mahu makan.

“Untuk jimatkan gas memasak, saya turut gunakan dapur kayu. Pernah juga kehabisan beras sehingga memaksa saya meminta duit daripada ahli keluarga untuk beli beras.

Rumah didiami ini pula pusaka arwah nenek dan saya tinggal dengannya sejak kecil,” katanya.

Katanya, walaupun keadaan rumahnya tidak begitu selesa terutamanya untuk anak-anak yang kian membesar, namun dia tiada pilihan lain dan tetap bersyukur kerana rumah pusaka itu jugalah menjadi tempatnya sekeluarga berteduh dari hujan serta panas.

“Sebelum ini suami saya bekerja sebagai penjawat awam, namun disebabkan beberapa masalah kesihatan termasuk berkaitan saraf, dia terpaksa berhenti sekitar 2012 dan mula berniaga kedai makan di Kuala Terengganu.

“Tapi tak lama berniaga kami ambil keputusan pulang tinggal di kampung. Suami hanya lakukan kerja kampung untuk teruskan hidup dan kemudiannya jadi pengawal keselamatan bermula lebih kurang setahun lalu,” katanya.

Duit pencen bayar pinjaman

Tambahnya, walaupun suaminya mendapat pencen sebanyak RM350 sebulan, namun duit itu hanya digunakan bagi membayar balik pinjaman yang dibuat sewaktu bekerja dahulu.

“Sekarang kami hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan.

“Saya bersyukur, Ramadan lalu dapat bantuan daripada Maidam sebanyak RM600. Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dibuat Jun lalu dan saya masih menunggu jawapan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Azmy Adenan ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima permohonan dibuat Ramlah dan keputusan berhubung permohonan bantuan bulanan itu masih dalam proses.

“Kami bersedia untuk turun padang sekali lagi ke rumah pemohon bagi melihat bentuk-bentuk bantuan lain bersesuaian yang mungkin boleh disalurkan kepada keluarga tersebut sementara menunggu keputusan permohonan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

 

Sumber: Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post