Kenyataan Kerajaan Selangor arah MBSA tarik laporan terhadap suami isteri adalah palsu

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan pihaknya diarahkan menarik balik laporan polis berhubung kekasaran dilakukan sepasang suami isteri terhadap anggota penguatkuasanya yang menjalankan tugasan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan semalam mengesahkan perkara tersebut.

Baca artikel sebelum: Suami isteri kasari penguat kuasa MBSA dipenjara 14 hari dan didenda RM3000

“Setakat ini, tiada makluman sedemikian yang dikeluarkan kepada MBSA,”katanya.

Sebelum itu, tersebar kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan MBSA atas arahan kerajaan negeri, diminta mengarahkan anggota penguatkuasanya menarik balik laporan polis yang dibuat dan sebagai kakitangan kerajaan negeri, mereka wajib mematuhi arahan tersebut atau tindakan tatatertib dikenakan.

Kenyataan tersebar turut mendakwa insiden yang berlaku hanya salah faham kerana pasangan tersebut menyangka pakaian seragam dipakai anggota penguatkuasa adalah uniform sekolah, selain turut mengaitkan seorang Exco Selangor Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram Dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah akan mewakili pasangan itu serta menawarkan sejumlah ganti rugi sebagai pampasan kepada anggota terlibat.

Menurut maklumat itu lagi, perkara itu akan diselesaikan secara dalaman tanpa perlu campur tangan polis, malah MBSA juga akan menukar pakaian seragam anggota penguatkuasanya untuk mengelakkan salah faham.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan setugas sedang menjalankan tugas di kawasan BRP 6/11 Bukit Rahman Putra dan mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kereta.

 

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan membabitkan penguat kuasa berkenaan dengan pasangan itu menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial.

Dalam perkembangan sama, Shahrin berkata, insiden kekasaran fizikal ke atas anggota penguatkuasanya sudah dilaporkan kepada polis, malah sudah dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

“Perlakuan seperti itu ternyata mengganggu dan menghalang tugas-tugas seorang penjawat awam.

“Ia merupakan sebahagian daripada cabaran penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, namun tidak akan melemahkan komitmen dan semangat warga kerja MBSA,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku menjadikan warga MBSA lebih berdedikasi dan cekap dalam melaksanakan tugasan pada masa akan datang.

Katanya, MBSA akan sentiasa menjadi pihak berkuasa tempatan yang mengamalkan dan berpegang teguh kepada konsep integriti, amanah, telus serta sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang cekap kepada orang ramai.

“Kita ucapkan syabas kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana dapat menyelesaikan isu ini dalam tempoh singkat, malah berterima kasih dengan maklum balas positif yang diterima daripada masyarakat berhubung isu ini,” katanya.

Sementara itu, Hiah Wah ketika dihubungi semalam turut menafikan dakwaan membabitkan namanya dalam kes tersebut.

“Palsu!Satu lagi mesej palsu berunsur politik sedang disebar dalam WhatsApp dan internet untuk sabotaj nama baik DAP dan kerajaan Selangor,” katanya.

“Kerajaan Selangor memandang serius tentang isu ini dan menegaskan bahawa perlakuan kedua-dua pelaku tersebut mendatangkan impak besar kepada penjawat-penjawat yang terpaksa menghadapi pelbagai rintangan di balapan tugasan harian. Kita mengutuk perlakuan sebegini dan mengambil pendirian tegas bagi menghadapkan sesiapa yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia memberikan sokongan padu kepada MBSA untuk terus berkhidmat.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post