Naqiu Boboy menyanyi di kelab malam sejak 10 tahun dulu sebagai punca rezeki

Naqiu Boboy menyanyi di kelab malam sejak 10 tahun dulu sebagai punca rezeki | Penyanyi, Naqiu, bersama kumpulannya, Boboy, pernah mendapat tempat di hati penggemar muzik lebih sedekad lalu.

Bersama album sulung berjudul Episod Cinta (2001), kumpulan yang turut dianggotai Shah Azrizal Kamarulzaman (Shah / gitar), Mohd Muzaffar Nordian (Muz / gitar kedua), Mohd Addinan Azmi (Didie / bes) dan Aris Fahmi Zulkifli (Acik / dram) berjaya berdiri sebaris dengan beberapa kumpulan remaja lain seperti New Boyz dan Spin.

Begitupun, kegemilangan mereka tidak bertahan lama apabila nama kumpulan itu bagai pudar selepas kemunculan album ketiga, Masih Mencari, pada 2005.

Namun bagi penyanyi utamanya, Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 30, perjalanan seninya tidak terhenti di situ apabila beliau terus aktif menyanyi walaupun bukan di arus perdana seperti zaman kemasyhurannya dulu.

“Saya masih menyanyi dan dunia nyanyian bagaikan tak mampu dipisahkan daripada diri ini. Cuma, pentas saya kini bukan lagi di arena muzik komersial. Zaman popular saya sudah habis.

“Sejak 10 tahun lalu, saya menyanyi di kelab malam. Bahkan, ketika di penghujung kontrak Boboy bersama syarikat rakaman, saya sudah mula berjinak-jinak dengan nyanyian di kelab.

“Menyanyi di kelab pula memerlukan saya membawa pelbagai genre muzik. Biasalah, kita kena ikut permintaan pelanggan dan tetamu yang hadir ke situ. Ketika menyanyi di kelab juga saya banyak belajar mengenai perihal muzik, termasuk cara nyanyian yang betul.

“Malah, apa yang saya timba itu langsung tidak saya peroleh ketika menyanyi pada zaman remaja dulu,” katanya dalam pertemuan bersama BH Online, baru-baru ini.

Naqiu Boboy menyanyi di kelab malam sejak 10 tahun dulu sebagai punca rezeki

Naqiu Boboy menyanyi di kelab malam sejak 10 tahun dulu sebagai punca rezeki

NAQIU dan isterinya, Hani.

Menurutnya, selain nyanyian di kelab yang dijadikan sebagai kerjaya, beliau juga sudah memiliki keluarga sendiri.

“Sudah enam tahun saya berkahwin dan kini mempunyai empat anak yang berusia antara satu hingga empat tahun,” katanya yang ditemani isteri, Hani, pada pertemuan terbabit.

Naqiu bersama tiga lagi anggota asal kumpulan berkenaan pernah muncul dengan single baharu berjudul Hukum Aku, sebagai isyarat kemunculan semula mereka sekitar dua tahun lalu.

Bagaimanapun, bukan nama Boboy yang digunakan mereka ketika itu, sebaliknya Six Years, sebagai simbolik enam tahun masing-masing membawa haluan sendiri.

“Mungkin kerana tidak menggunakan nama Boboy, jadi ramai yang tak menyedari kehadiran semula kami.

“Projek itu pula tercetus selepas sekian lama kami tak berjumpa. Apabila bertemu, masing-masing bertanya kenapa tidak mereka hasilkan lagu baharu? Ia asalnya macam projek suka-suka dan lagu berkenaan juga dimuatnaik ke laman YouTube. Ia turut dihantar ke stesen radio, tetapi mungkin tiada rezeki untuk lagu berkenaan dimainkan waktu itu.

“Hubungan antara kami juga terus akrab selepas pertemuan semula itu. Cuma kadang-kadang kekangan masa membuatkan masing-masing susah untuk berjumpa. Anggota lain bekerja pada waktu siang, saya pula sebelah malam,” kata Naqiu.

Selain Episod Cinta dan Masih Mencari, kumpulan itu juga memiliki album Antara Remaja Dan Dewasa (2003). Naqiu sendiri pernah muncul dengan album solo yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul.

Sumber: Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post