“Tiada istilah percuma dalam kerjaya saya. Kalau kerja, ada duit” – Che Ta

TERPALIT isu cukai tidak menjejaskan emosinya malah dia tekad untuk terus menjana pendapatan yang kukuh demi kelangsungan hidupnya terutama dalam situasi ekonomi yang tidak menentu pada hari ini.

Che Ta

Che Ta

Kerana itu Rozita Che Wan, 43, atau Che Ta bertegas tiada terma percuma bagi mereka yang mahu mendapatkan kerjasama daripadanya, begitu juga sebaliknya apabila dia mahukan sesuatu daripada pelbagai pihak lain.

Bagi aktres popular ini, terma percuma sudah tidak sesuai lagi dipraktikkan buat individu yang bekerja dalam industri hiburan memandangkan setiap usaha itu ada nilai tersendiri.

“Sejak awal membabitkan diri dalam industri hiburan, tiada istilah percuma dalam kerjaya saya. Kalau kerja, ada duit. Sebab nak ke mana-mana pun kena pakai duit.

“Malah dengan kedudukan saya ini pun, saya bukan jenis yang minta percuma bagi setiap urus niaga. Semuanya berjalan dengan profesional. Ada bayaran untuk setiap kerja yang dilakukan.

“Misalnya, dalam menyediakan pakaian, saya akan mengeluarkan duit sendiri untuk membeli pakaian. Kalau tak pun, saya yang menyediakan kain untuk dijahit oleh pereka fesyen tertentu.

“Begitu juga dengan urusan-urusan lain termasuklah memanggil jurumekap untuk menata rias wajah saya setiap hari. Semuanya saya bayar,” tegas isteri kepada Zain Saidin ini.

Che Ta juga mengakui mengamalkan prinsip bekerja keras dan tidak pernah mengamalkan budaya kerja sambil lewa.

Mahu mengekalkan reputasi dengan pihak yang berurusan dengannya, Che Ta percaya dengan cara itu pasti akan membuahkan keyakinan orang terhadap dirinya.

Sementelah kini sudah bergelar ahli perniagaan, sudah pastilah Che Ta mahu mengekalkan disiplin agar tidak berlaku sebarang salah faham di kemudian hari.

Selain menjalankan perniagaan berasaskan pakaian wanita, minyak wangi dan produk penjagaan diri, Che Ta juga menceburi dunia penerbitan menerusi syarikat produksi, Padusi Pictures.

“Setiap pagi, saya akan bersiap-siap untuk ke pejabat sebelum pukul 9 pagi. Waktu kerja saya bukan seperti kerja pejabat. Kadang-kadang bekerja sampai lewat malam.

“Walaupun pada ketika itu saya terikat dengan jadual penggambaran, saya tetap akan mencuri masa untuk menguruskan bisnes dan bahagikan masa dengan keluarga.

“Walaupun terpaksa tidur lewat semata-mata nak memastikan semua tanggungjawab itu saya selesai, saya tak kisah,” jelasnya.

Seringkali dilihat tampil dengan gaya percutian mewah pada setiap kunjungannya ke luar negara, itu adalah ganjaran yang diberikan Che Ta buat keluarga tersayang selepas selesai projek dilaksana atau dijayakan.

Itu juga merupakan ganjaran buat setiap kerja keras yang dilakukannya.

“Perumpamaan ukur baju di badan sendiri itu kena dengan diri saya. Jadi tidak salah kalau saya berbelanja mewah jika semua itu mengikut kemampuan saya.

“Dan tidak salah juga kalau saya mengetengahkan konsep sedondon dengan anggota keluarga pada setiap percutian kerana itu juga pilihan saya.

“Hinggakan terpaksa mengemas baju seharian untuk memastikan tema pakaian kami anak beranak semuanya sama juga saya tak kisah.

“Sebab kalau kita mahu semuanya sempurna maka seseorang itu perlu berkorban.

“Yang penting adalah kepuasan diri,” kata Che Ta yang kerap keluar negara bercuti dengan keluarganya lengkap dengan tema tertentu.

Dalam pada itu, Che Ta bakal saja selesai menjalani penggambaran program realiti terbitan Astro yang akan memaparkan aktiviti hariannya sebagai wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak tersayang.

Program itu bakal ditayangkan tahun depan.

 

Sumber: Utusan Online



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post