Kenapa artis Indonesia masuk sini senang sangat? Tapi, apabila artis Malaysia ke Indonesia sebaliknya. Kenapa? Kerana wartawan Indonesia sangat kedekut – Sheila Majid

PENYANYI terkenal, Datuk Sheila Majid berpendapat, liputan media hari ini terhadap seseorang artis mengalami beberapa perubahan seiring dengan peredaran zaman.

Menurutnya, artis hari ini bertuah kerana lebih mudah mendapat liputan media berbanding artis terdahulu.

Ini kerana, katanya, berdasarkan pengalaman, liputan media hanya diberi berlandaskan kepada pencapaian seseorang artis.

“Dulu, kalau seseorang artis mahu masuk surat khabar, majalah atau TV, dia perlulah mencapai sesuatu kejayaan.

“Apabila sudah berjaya, barulah artis itu akan dipandang. Masa itu gembiranya hanya Tuhan yang tahu (gelak).

“Tapi, kini, ia berbeza sama sekali,” katanya pada Sinar Harian.

Atas faktor itu, pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid ini berkata, seseorang artis itu akan terus bekerja keras untuk menghasilkan yang terbaik.

“Lihat Indonesia, kenapa artis di sana masuk sini senang sangat? Tapi, apabila artis ke Indonesia sebaliknya pula yang berlaku.  Kenapa? Kerana wartawan Indonesia sangat kedekut.

“Ya, mereka memang datang sidang media. Malah, penuh! Tapi esok cuba lihat balik dia ada tulis atau tidak?

“Jika artis itu tiada kelainan, jangan haraplah dia nak buat promosi. Lebih baik dia ‘promote’ artis dia.

“Sebenarnya, itulah caranya untuk kita bawa kualiti artis kita. Jadi, artis perlu bekerja keras demi hasil yang terbaik,” katanya.

Bahkan, katanya, dengan adanya liputan terpilih, maka akan lebih dihargai artis atau masyarakat umum.

Bukan itu sahaja, Ratu Jazz ini berkata, liputan kepada seseorang artis itu haruslah berdasarkan kepada bakat seni yang dimiliki dan bukan kerana populariti semata-mata.

“Sekarang ini, semuanya artis.

“Padahal artis adalah orang berseni manakala popular adalah kerana mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

“Jadi, ada perbezaan di situ. Kita perlulah didik masyarakat,” katanya yang berpengalaman selama 30 tahun dalam industri hiburan.

Pada masa sama, pelakon filem Ali Setan ini kecewa apabila ada bakat artis tempatan yang mampu pergi jauh namun tidak mendapat perhatian di negara sendiri.

“Negara kita ada ramai artis yang berbakat, hanya tiada pimpinan yang betul dan sokongan.

“Sebab itu bakat mereka seolah-olah diketepikan.

“Tapi, apabila orang luar menyedarinya, barulah kita pun sibuk nak ambil berat.

“Lihat Yuna pun sudah cukup. Sebelum ini, tiada siapa yang kisah mengenai dia. Kini, Yuna berjaya sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bakal lancar album baru

Dalam pada itu, Sheila berhasrat untuk melancarkan album terbaharunya, tahun depan.

Katanya, albumnya itu akan memuatkan 10 lagu daripada komposer tempatan dan Indonesia seperti Kevin Chin dan Tohpati.

“Jujur, saya ambil masa sehingga tiga tahun untuk membuat album ini.

“Semuanya kerana proses memilih lagu yang bersesuaian.

“Lagipun, saya sudah lama tidak mengeluarkan album, jadi saya mahukan yang terbaik untuk album ini.

“Sebab itu, saya akan pastikan saya betul-betul puas hati,” katanya yang mengharapkan sokongan peminat.

Kali terakhir Sheila menghasilkan album adalah Cinta Kita yang diterbitkan pada 2003.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 51 tahun ini baru sahaja melancarkan semula lagu Sinaran versi baru duet bersama anaknya, Kayda.

Katanya, pelancaran lagu itu dibuat sempena kempen Anlene Move As Young You Feel Inside.

Sheila yang juga duta Anlene memberitahu, kempen ini bertujuan untuk mengajak lebih ramai masyarakat dewasa hari ini agar bergiat aktif dan produktif selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan bernutrisi.

“Kempen ini sangat bermakna buat saya apatah lagi saya juga menyanyikannya bersama Kayda.

“Pastinya kehidupan menjadi lebih bahagia apabila memiliki tubuh badan yang sihat dan cergas,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post