Mitos Sungai Pinggan: Kisah pinjam pinggan dari orang bunian tapi tak pulangkan

TIDAK ramai menyedari kewujudan tapak Mitos Sungai Pinggan yang terletak Kem Karisma memandangkan lokasinya agak terpencil di kawasan benteng Sungai Pinggan, Benut.

Mitos Sungai Pinggan

Mitos Sungai Pinggan

Kawasan yang masih diseliputi kehijauan pokok, sungai dan tanah lapang yang dijadikan sebagai tempat memanah cukup indah dan menenangkan

Bagi penduduk pula, ada cerita yang dikaitkan dengan makhluk halus iaitu orang bunian berlaku di Sungai Pinggan suatu masa dahulu.

Pinjam pinggan bunian

Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan, Kasmadi Suboh, berkata berdasarkan cerita yang disampaikan dari generasi ke generasi dipercayai wujud orang bunian di kawasan sungai suatu ketika dahulu.

Katanya, orang kampung yang mahu mengadakan kenduri kahwin akan meminjam pinggan bagi kegunaan tetamu yang bertandang untuk menjamu selera.

“Orang dulu-dulu dikatakan meminjam pinggan daripada orang bunian untuk mengadakan majlis kenduri. Orang bunian yang memberi pinjam itu pula dikenali sebagai Haji Adenan.

“Memang baik orang bunian beri pinjam pinggan pada orang kampung. Tapi dek sikap tidak reti hendak pulangkan semula pinggan yang dipinjam, bunian naik marah.

“Bunian tidak mahu beri pinjam lagi, maka tiada lagi urusan pinjam meminjam pinggan berlaku di sini. Hanya tinggal nama Sungai Pinggan,” katanya.

Di mana pinggan disimpan?

Ketiadaan urusan pinjam meminjam antara bunian dan penduduk, membuatkan persoalan di mana pinggan disimpan mula timbul.

Menurut Kasmadi, tiada siapa yang mengetahui lokasi pinggan disimpan oleh bunian.

Bagaimanapun, terdapat dakwaan kononnya ada yang pernah melihat banyak pinggan di dasar sungai ketika airnya cukup jernih.

“Ia cuma dakwaan sahaja, tapi saya sendiri tidak pernah melihat pinggan di dasar sungai.

“Cukuplah kita tidak mengganggu ‘mereka’ (bunian) kerana mereka juga makhluk ALLAH,” katanya.

Mukim Sungai Pinggan

Pengaruh nama Sungai Pinggan cukup besar kepada penduduk sehingga terdapat mukim yang dinamakan Sungai Pinggan yang terdiri daripada beberapa kampung rangkaian.

Kasmadi berkata penduduk yang terdiri daripada masyarakat Jawa, Melayu dan Banjar hidup harmoni.

“Walaupun terdapat tujuh kampung rangkaian di Mukim 3 Sungai Pinggan tetapi kami tetap ‘berayan’ (dalam bahasa Jawa) iaitu bergabung.

“Tujuh kampung itu ialah Kampung Parit Sayang, Kampung Parit Marjunit, Kampung Parit Tengah, Kampung Parit Yasin, Kampung Parit Mastar 6 dan 5, serta Kampung Asam Kumbang,” katanya.

Jelasnya, penyatuan dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan penubuhan homestay dinamakan Homestay Berayan melibatkan 12 rumah penduduk kampung sejak dua tahun lalu.

Tapak mitos jadi tarikan Homestay Berayan

Keindahan benteng Sungai Pinggan di samping cerita bunian orang dahulu, memberi idea kepada penduduk kampung untuk mewujudkan tapak mitos.

Bagi tujuan rekreasi dan riadah pula, sebuah kem dinamakan Karisma dibangunkan di situ dengan kemudahan tapak perkhemahan, memancing dan memanah disediakan.

Pengerusi Karisma, Hatta Paiman berkata kem karisma yang menempatkan tapak mitos Sungai Pinggan sudah dibangunkan oleh Kelab Rekreasi Kampung Parit Marjunit.

“Sebagai tambahan kepada aktiviti homestay, pengunjung akan dibawa mengunjungi tapak mitos di Kem Karisma.

“Selain itu, Kem Karisma juga menjadi tempat latihan kepada pelajar tahfiz dan madrasah dari Benut dan Batu Pahat untuk melakukan sukan memanah pada setiap hujung minggu,” katanya.

Jelasnya sejak dibuka dua tahun lalu, pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, memancing, ‘explore race’, sudah diadakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan orang ramai.

“Kami bercadang untuk meningkatkan lagi kemudahan yang terdapat di Kem Karisma dan Tapak Mitos termasuk mewujudkan tempat letak kenderaan di sini,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post