“Polis mahu tahu siapakah watak-watak ini. Apa yang saya lukis, siapa yang taja kerja saya?” – Zunar

Polis membebaskan kartunis Zunar dan empat yang lain selepas menahan mereka dalam satu majlis mengumpul dana, petang semalam.

Menurut Zunar, beliau dan empat yang lain dibebaskan hampir tengah malam tadi selepas memberi keterangan selama kira-kira enam jam.

“Terdapat kira-kira tujuh hingga 10 anggota polis pada satu-satu masa. Mereka tanya mengenai kartun saya, halaman demi halaman.

“Mereka mahu tahu siapakah watak-watak ini. Apa yang saya lukis, siapa yang taja kerja saya? Syarikat apa di belakangnya?

“Saya ikut nasihat peguam saya dan memilih untuk tidak menjawab,” katanya ketika dihubungi.

Pada satu ketika Zunar mendakwa polis mengugut untuk melucutkan hak bagi kartun beliau.

“Ia bermakna saya tidak akan mempunyai hak ke atas buku-buku saya lagi. Buku-buku ini tidak akan lagi jadi milik saya,” katanya.

Zunar dan empat yang lain ditahan dalam satu majlis di Kuala Lumpur bagi mengumpul dana untuk kartunis yang mengalami kerugian selepas polis merampas karya mereka di Pulau Pinang tiga minggu lalu.

“Jadi saya adakan kutipan dana, ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Saya cuba elak konfrontasi dengan pihak polis, sebab itu saya lakukannya dalam bangunan. Ia adalah majlis persendirian, dengan rakan-rakan sahaja,” katanya.

Pada 26 November sekumpulan individu menyerang pameran Zunar di Komtar, Pulau Pinang. Bagaimanapun sebaliknya Zunar ditahan dan karya-karya beliau dirampas.

Sebelum ini, polis juga mengenakan sekatan perjalanan terhadap Zunar, yang sering ke luar negara untuk berkongsi hasil kerjanya.

 

Sumber: Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post