Zarul dah buat keputusan berhenti kerjaya pramugara?

Baru-baru ini Poklip ada berjumpa dengan ‘Hot Daddy’ Malaysia, Zarul Umbrella. Kami berbual-bual juga, cuba mengorek rahsia. Macam-macam cerita yang Poklip dengar tentang penyanyi seorang ini.

Tapi sayang beribu-ribu kali sayang, puas memujuk tetapi Zarul tetap berdiam diri tentang pilihannya untuk terus menyanyi atau kekal bekerja dengan Malaysia Airlines.

Asyik-asyik jawapan sama diulang pakai. Tunggulah nanti, sampai masa dia akan umumkan. Itulah jawapan klise yang diterima kepada semua yang bertanya. Kira hendak buat kejutanlah itu.

Tapi ada seorang kawan Poklip menyampaikan cerita, Zarul sebenarnya sudah membuat keputusan. Dia dikatakan sudah nekad untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan mengucapkan selamat tinggal awan biru.

Cerita kawan Poklip, Zarul dikatakan bakal menghantar surat berhenti kerja pada hujung bulan ini. Iyalah, cuti tanpa gaji yang diambil sempena penglibatannya dalam Gegar Vaganza pun tamat pada waktu yang sama.

Sudah alang-alang, mungkin Zarul merasakan lebih baik dia berhenti sahaja. Lagipun, peminatnya sekarang semakin hari semakin bertambah. Jangan main-main tau, sebut sahaja nama Zarul, habis histeria gadis-gadis di luar sana. Mak-mak gadis pun sama histeria.

Kuat betul penangan abang payung kita seorang ini. Biarpun pada usia 43, dia masih kekal bergaya. Kalah anak bujang macam Poklip ini haaa. Kalau tidak, takkan ada melabelkan penyanyi ini ‘Hot Daddy’ Malaysia. Panaskan?

Tapi Poklip dengar juga sekarang ini pendapatan Zarul sebagai penyanyi lebih menguntungkan. Almaklumlah, populariti semakin mencanak, banyaklah permintaan untuk membuat persembahan.

Cuma Poklip mengharapkan Zarul berfikir dengan sebaik mungkin. Selama 16 tahun berkerja di awan biru merupakan satu tempoh yang cukup lama dan pastinya Zarul akan ralat untuk meninggalkan kerjaya tersebut.

Malah industri kita ini ibaratnya seperti untung sabut timbul untung batu tenggelam. Jangan termakan populariti yang dikecapi sekarang. Ada baiknya teruskan sahaja bekerja sebagai pramugara.

Kerjaya sebagai penyanyi teruskan hanya sekadar kerja sampingan. Tetapi semuanya terserah kepada Zarul sendiri. Tepuk dada tanya selera. Takkan Poklip hendak memandaikan? Jadi Zarul, apa cerita?

SOLOK LADA: Dengar cerita ada pelakon mengamuk macam mana cerita dia kononnya lambat ke set penggambaran tersebar? Ala awak, sekarang ini segala-galanya pantas, ibaratnya dinding pun bercakap okay.

 

Sumber: Utusan Online



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post