Abang Jo pilihan tepat - Dr Jeniri

KUCHING: Pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak adalah pilihan paling tepat bagi memimpin rakyat Bumi Kenyalang, kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Jeniri, yang juga penganalisis politik Sarawak, berkata banyak faktor yang membawa kepada pelantikan bekas Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu termasuk pengalaman meluasnya dalam politik serta kualiti kepimpinannya dalam kerajaan dan parti.

"Beliau merupakan individu yang paling senior dan paling berpengalaman luas di dalam parti (PBB dan Barisan Nasional) dan politik Sarawak dengan memulakan kerjaya politik pada 1981.

"Sementara tiga calon lain iaitu (Timbalan Ketua Menteri) Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyertai politik pada 1986, (Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 1987 dan (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof pada 1999," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

BACA: Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu

BACA: Pemilihan Abang Johari berdasarkan Perlembagaan Negeri Sarawak

Keempat-empat nama itu disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Kota Samarahan dekat sini pada Rabu.

Jeniri berkata Abang Johari merupakan ahli politik yang cukup matang dan pernah melalui pelbagai ujian dalam arena politik.

Beliau percaya langkah Adenan melantik Abang Johari sebagai timbalan ketua menterinya sebelum ini adalah sebagai persediaan mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri ini sekiranya Adenan tidak lagi menyandang jawatan ketua menteri.

Selain itu, katanya, Abang Johari merupakan pemimpin dan ahli politik yang sangat setia kepada parti dan ketua menteri terdahulu iaitu Tan Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud dan Adenan.

Malah, Abang Johari juga memberi sokongan penuh kepada pelantikan Adenan sebagai ketua menteri pada 2014 walaupun dirinya disebut-sebut sebagai penganti Abdul Taib ketika itu.

"Abang Johari tidak pernah merajuk...inilah karakter seorang pemimpin yang kita mahu. Malah, integritinya juga tidak boleh dipersoalkan kerana beliau merupakan pemimpin yang bersih daripada segala skandal.

"Pelantikannya sebagai timbalan ketua menteri semasa era Adenan membuktikan Adenan mempunyai kepercayaan penuh terhadap kewibawaan beliau," kata Jeniri.

Selain itu, Jeneri berpendapat Abang Johari adalah pemimpin yang rendah diri, popular dan disukai rakyat pelbagai kaum malah, beliau amat senang didekati dan suka mendekati rakyat.

Menurutnya walaupun Adenan meninggalkan peranan yang amat besar untuk disandang, Abang Johari diyakini dapat melaksanakan tanggungjawab beliau selaku ketua menteri hasil kebijaksanaan, visi dan pengalaman luas beliau.

"Abang Johari telah memainkan peranan yang sangat penting ketika menyandang jawatan timbalan ketua menteri di bawah kepimpinan Adenan dan pencapaiannya dalam pelbagai kementerian di negeri ini juga sangat cemerlang.

"Saya yakin beliau tidak akan mengecewakan rakyat Sarawak dan beliau sudah pastinya akan meneruskan apa juga agenda yang diperjuangkan oleh Adenan demi kebaikan negeri dan rakyat Sarawak," katanya.

Jeniri berkata Awang Tengah pasti menyokong penuh pelantikan Abang Johari kerana beliau yang membawanya ke kancah politik Sarawak.

Awang Tengah mempunyai masa dan peluang untuk meningkat naik dalam politik dan perlu bersabar seperti yang dilakukan oleh Abang Johari sebelum ini, katanya.

Beliau yakin pelantikan Abang Johari tidak akan memecahbelahkan PBB dan BN kerana Uggah, Awang Tengah mahu pun Fadillah memberi sokongan sepenuhnya terhadap pelantikan Abang Johari.

Dalam pada itu, Jeniri berkata beliau percaya sebagai ketua menteri, Abang Johari boleh memelihara hubungan yang baik antara di antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

"Sarawak memerlukan seorang ketua menteri yang dapat bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan.

"Hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan pasti akan memanfaatkan Sarawak bagi membolehkannya mendapat lebih banyak peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri Sarawak," katanya.

-- BERNAMA



Sumber Abang Jo pilihan tepat - Dr Jeniri

Post a Comment

Previous Post Next Post