Aktivis gesa Kerajaan Selangor kenakan caj RM1 untuk beg plastik

Aktivis alam sekitar terkenal, Gurmit Singh menggesa kerajaan Selangor mewajibkan peniaga mengenakan bayaran RM1 untuk setiap beg plastik berbanding 20 sen sebagai menyokong kempen “Hari Tanpa Beg Plastik”.

Gurmit-Cetdem-1

Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) itu berkata, peniaga perlu mengenakan caj lebih tinggi untuk setiap beg plastik bagi menghalang pembeli menggunakannya.

“Pembeli masih menggunakan beg plastik kerana ia murah. Naikkan harga kepada RM1 mungkin boleh menghalang mereka daripada membeli beg plastik,” katanya kepada FMT.

Gurmit mengulas kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” oleh kerajaan negeri Selangor yang dilanjutkan daripada setiap Sabtu kepada setiap hari, mulai 1 Januari lalu.

Mengenai sesetengah kedai menyediakan beg kertas kepada pelanggan, beliau berharap peniaga menggunakan beg kertas diperbuat daripada “kayu perladangan” yang lebih mesra alam atau biodegradasi (boleh urai).

Bagi tujuan pelupusan sampah, Gurmit berkata, pemilik kediaman perlu menggunakan beg plastik sampah sesuai yang boleh dibeli daripada kebanyakan kedai.

Sementara itu, pencinta alam sekitar, Andrew Sebastian berkata, penggunaan beg plastik perlu dihentikan secara beransur-ansur.

“Dalam tempoh kira-kira 6 bulan, kerajaan perlu mengkaji penyingkiran beg plastik demi kebaikan. Mengharamkan penggunaan beg plastik secara menyeluruh adalah satu proses.”

Katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg kitar semula.

“Selepas mendidik orang ramai, kerajaan tidak harus membenarkan penjualan beg plastik. Kami berharap pembeli akan berhenti menggunakan beg plastik untuk melindungi alam sekitar.”

Pada 21 Disember lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong dilaporkan berkata, bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari lalu.

“Undang-undang pihak berkuasa tempatan berkaitan hal itu sudah dikaji bagi menyokong dasar ini dan peniaga harus bersetuju mengamalkan kempen bebas plastik dan polistirena apabila memperbaharui lesen perniagaan,” kata Adun Bukit Lanjan itu.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu akan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dilaporkan berkata, kementeriannya akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar larangan menggunakan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 September 2017.

Kementerian memberi tempoh 9 bulan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada warga kota sebelum melaksanakan 100% penggunaan produk jenis biodegradasi.

 

Sumber: FMT



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post