Tindakan kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan akhir atau end-financing bagi pembelian Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan meletakkan masa depan rakyat pada hujung tanduk, kata Exco Pemuda Amanah Nasional, Mohd Ammar Atan.

Skim PR1MA letak nasib rakyat di hujung tanduk

Skim PR1MA letak nasib rakyat di hujung tanduk

Menjelaskan ia memberi risiko kepada peminjam, jelasnya, skim yang diperkenalkan akan mewujudkan tiga implikasi ekonomi kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Skim ini bakal mengakibatkan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rakyat terkunci secara terus, mewujudkan ‘sub-prime’ loan dan mengakibatkan tanggungan bebanan hutang yang tinggi bagi rakyat.

“Kami khuatir apabila skim ini diperkenalkan dengan memikirkan kesan negatif yang bakal dihadapi oleh rakyat. Kerajaan terlalu fokus kepada meningkatkan pemilikan rumah bukannya ‘pemilikan berhemah’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sekiranya pembelian rumah diikat dengan wang simpanan KWSP, ia bakal menjejaskan rakyat sewaktu persaraan kelak sekiranya ketidakmampuan mereka untuk membayar.

“Realitinya, rakyat sudah terbeban dengan beban perbelanjaan seharian yang sentiasa meningkat dan tanggungan hutang sedia ada.

“Isu utama dalam industri perumahan negara yang perlu diselesaikan ialah dengan menawarkan lebih banyak rumah yang benar-benar mampu milik setara dengan 50 peratus isi rumah Malaysia yang berpendapatan RM4,585 ke bawah,” ujarnya lagi.

Justeru, pihaknya menggesa kerajaan untuk menghentikan skim pembiayaan akhir yang akan menjerut rakyat kelak dan memfokuskan kepada isu utama dalam hal pemilikan perumahan rakyat.

“Gaji yang tidak berkembang dan peningkatan kos sara hidup serta kos-kos perbelanjaan lain menyebabkan rakyat terus tersepit dengan keadaan seperti ini,” katanya lagi.