9:29:00 PM
Kerjaya sebagai wartawan penyiaran hiburan dan pengacara menjadi rutin harian CK Faizal.

Menemu bual artis juga adalah sebahagian rutin tugasnya.

Kini apabila dia sendiri bergelar penyanyi menerusi lagu duetnya dengan penyanyi yang juga rakan karibnya, Radzi berjudul Bujang Duda, adakah dia rela berhadapan kritikan dan cemuhan?

Menurut CK, dia bersedia dengan segala kemungkinan yang akan datang kepadanya.

“Jika saya berani mencuba nasib menjadi penyanyi, saya juga terpaksa kuatkan hati menerima apa saja tanggapan peminat muzik kepada saya. Mungkin selepas ini saya akan rasa seperti apa yang penyanyi lain rasa.

“Sebelum saya mengisytiharkan lagu itu milik kami berdua, kami perdengarkannya dulu kepada beberapa orang. Kelakarnya ada yang bertanya, adakah penyanyi kedua itu iaitu saya betul-betul penyanyi? Sebenarnya semua orang boleh menyanyi cuma nada suara saja yang berlainan,” katanya.

Lagu Bujang Duda baru saja dilancarkan yang dicipta Radzi dan lirik oleh CK.

“Kami sudah enam tahun berkawan iaitu sejak menyertai On Air terbitan Astro. Selepas tamat program itu, saya menyertai dunia pengacaraan, manakala Radzi menjadi penyanyi.

“Menerusi persahabatan yang panjang, selain mengenali hati budi seorang rakan, kami juga tahu minat dan kecenderungan masing-masing. Sejak dulu, saya suka menulis terutama puisi dan sajak. Selepas menjadi pengacara, saya menulis skrip dan bidang penulisan terus sebati dengan jiwa saya.

“Kami selalu ke karaoke dan Radzi tahu saya boleh menyanyi walaupun suara saya tidak sehebat mana. Pada suatu pagi tahun lalu, Radzi mengirim lagu yang dinyanyikan separuh kepada saya meminta saya sambung hingga habis dan itulah permulaannya lagu duet Bujang Duda,” katanya.

Menurut CK, dia tidak merancang menjadi penyanyi tetapi Radzi yang beria-ia mendorongnya mengeluarkan bakat terpendamnya itu.

“Bidang pengacaraan masih menjadi keutamaan saya, manakala nyanyian pula saya anggap sebagai satu lagi cabang kerjaya baru,” katanya.

Tumpang populariti

Sementara itu, Radzi berkata, sepanjang perkenalan mereka, dia tahu CK boleh menyanyi dan dia boleh jadi penyanyi yang bagus jika rajin berlatih.

“Bakat sudah ada, jadi saya yakin CK boleh penyanyi yang bagus.

Dia rakan yang sangat baik dan pernah meminta saya jadi pengacara, tetapi ketika berlangsungnya On Air saya sudah merakamkan single pertama, Maafkan Aku.

“Saya tak boleh tinggalkan lagu itu separuh jalan lalu terpaksa lupakan cita-cita menjadi pengacara. Pernah juga cuba berlakon, tetapi tidak sesuai dengan saya,” katanya.

Apabila CK ‘bergabung’ suara dengan Radzi pasti ada yang beranggapan CK menumpang populariti penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

“Tiada istilah siapa menumpang siapa. Sebagai sahabat kami mesti menyokong satu sama lain. Lagu Bujang Duda juga mempunyai melodi ringan yang ‘catchy’ sesuai dengan suara CK,” katanya.



Sumber CK sedia terima cemuhan

0 comments:

Post a Comment

loading...