Pengalaman berharga Amira

Bakat Amira Othman, 32, dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Malah, kehadiran single pertamanya berjudul Hati-Hati mendapat sambutan positif peminat.

Tuah terus menyebelahi Amyra apabila diberi kepercayaan beraksi dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang berlangsung di pentas Istana Budaya (IB) pada 3 hingga 5 Mac lalu.

Lebih bermakna, Amira berkongsi pentas dengan barisan penyanyi terkenal era 60-an iaitu Datuk A Rahman Hassan, Datuk L Ramli, Datuk Jefrydeen, J Sham, Maria Bachok, A Rozainie dan Aiman Tino.

“Alhamdulillah, impian untuk beraksi di pentas IB kesampaian dan saya menimba pengalaman sangat berharga.

“Maklumlah, saya masih baru dalam bidang seni dan ia landasan terbaik untuk mengukuhkan nama dalam karier nyanyian,” katanya.

Walaupun turut mengukir nama sebagai pelakon, bintang utama drama bersiri Abang Bomba I Love You ini mengakui cintanya tetap pada bidang nyanyian.

“Minat dan keutamaan tetap pada bidang nyanyian. Namun, jika ada watak menarik dan ada kelainan, saya tidak akan menolak.

“Bidang lakonan juga antara cabang seni yang saya minati,” katanya.

Selepas drama Abang Bomba I Love You, tawaran berlakon tidak pernah putus buat Amira.

“Sepatutnya saya terbabit dengan penggambaran drama baru bulan ini tetapi ia terpaksa ditunda kerana bertindih dengan jadual sedia ada.

“Insya-Allah, saya akan kembali ke lokasi penggambaran projek drama baru selepas raya nanti,” katanya.

Pertaruh single Jaga-Jaga

Selepas single Hati-Hati, Amira tampil dengan single baru berjudul Jaga-Jaga.

“Single ini ada suntikan balada dan saya berharap ia mendapat sambutan menggalakan daripada pendengar.

“Saya juga merancang merakam album penuh. Buat masa ini, saya masih mengumpul material.

“Terus terang, saya memang sangat cerewet dalam proses pemilihan lagu dan melodinya kerana ingin menghasilkan album berkualiti untuk kepuasan diri dan peminat.

“Oleh itu, saya tidak kisah jika pembikinan album penuh ini mengambil sedikit masa lagi,” katanya.

Jika artis lain bernaung di bawah pengurusan, Amira selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat.

“Saya lebih selesa bergerak sendiri dengan bantuan pengurus dan pembantu peribadi.

“Lebih bermakna, saya turut melabur duit sendiri untuk pembikinan single baru dan album penuh nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amira kini berada di Tanah Suci Makkah atas urusan kerja.

“Saya terbabit dengan penggambaran projek untuk YouTube sekali gus menunaikan umrah yang pertama,” katanya.



Sumber Pengalaman berharga Amira

Post a Comment

Previous Post Next Post