Rapid Johor: Pembangkang jangan kelirukan fakta, kata menteri

Datuk Rahman Dahlan berkata fakta pembangkang berterabur dan mungkin kenyataan seperti itu akan menyebabkan pelabur luar negara menuduh Malaysia sebagai "pariah".

rahman-dahla-saudi-aramco-2

KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta berhenti daripada mengeluarkan fakta mengelirukan mengenai kerjasama strategik antara Saudi Aramco dengan Petronas dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan berkata kenyataan tersebut bukan hanya tidak tepat malah boleh menyebabkan pelabur luar memandang rendah kepada negara ini.

“Sebab itu saya minta pembangkang banyak membaca, jangan hanya mengutip cerita di tepi jalan.

“Saya mahu pembangkang baca maklumat mengenai projek itu dalam website Petronas dan buat kajian supaya tidak akan keluar kenyataan sebegitu.

“Fakta anda semua berterabur, saya bimbang kenyataan seperti itu akan menyebabkan pelabur luar negara menuduh kita sebagai ‘pariah’,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada sesi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kenyataan mengelirukan itu termasuklah tuduhan perjanjian strategik itu akan lebih menguntungkan Saudi Aramco dan merugikan Petronas serta projek itu menjual kepentingan negara dalam projek Rapid.

“Saya hendak jelaskan keseluruhan projek ini dinamakan Kompleks Petroleum Antarabangsa Pengerang (PIPC) dan di dalamnya mempunyai komponen Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan inilah yang bernilai RM27 bilion.

“Kemudian dalam PIC pula ada komponen Rapid yang ada kerjasama antara Saudi Aramco dan Petronas, jadi tidak betul bila Yang Berhormat menuduh pelaburan Saudi Aramco buat dalam Rapid itu 50% dalam PIPC, sebab pelaburan itu hanya dalam komponen Rapid,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Ko yang ingin tahu status pembinaan dan anggaran kos projek itu, beliau berkata sehingga kini keseluruhan projek PIC merangkumi projek Rapid siap 60% dan dijangka siap dan mula beroperasi pada 2019.

Dalam pada itu, Rahman menjelaskan keputusan Saudi Aramco melabur dalam projek Rapid di Pengerang adalah satu pengiktirafan kepada usaha dibuat Petronas dan juga hubungan baik kedua-dua negara.

“Saya percaya, banyak lagi kelebihan ekonomi yang boleh dikongsi warga Malaysia dengan negara Arab Saudi untuk manfaat kedua-dua buah negara pada masa depan.

“Di samping itu, ia penanda aras kepada keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara dan juga terhadap kepakaran dan kebolehan insan anak tempatan kita,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Rapid Johor: Pembangkang jangan kelirukan fakta, kata menteri

Post a Comment

Previous Post Next Post