Lepas kahwin, Rahim harap Jep jadi lebih matang

Sah bergelar suami kepada pelakon Sari Yanti, pelawak Rahim mengharapkan Jep akan menjadi seorang yang lebih matang.

Jep sah bergelar suami kepada Sari Yanti pada 25 Februari lepas dalam majlis pernikahan tanpa undangan media. — Foto ihsan Instagram/Sariyanti

Rahim, penyampai radio yang terlibat dalam segmen Sepahtu Sinar berharap dapat bekerjasama lebih lama dengan Jep dan Shuib menghiburkan peminat setiap pagi.

“Kerja dengan siapa pun ada masalah. Saya tidak nafikan di radio pun kami pernah berselisih pendapat tetapi saya percaya pada rezeki.

“Setiap manusia ada kerenahnya. Kami nak buat di radio ini lama. Susah bekerja jika tiada persefahaman kerana setiap hari mengadap muka.

“Ada benda yang perlu, saya nasihat. Dia pun sudah bergelar suami, tanggungjawabnya pun akan lebih.

“Saya harapkan dia menjadi lebih matang. Itu harapan dan doa saya,” katanya kepada ProjekMMO.

Jep, nama popular Mohd Nadzri Zainal Abidin sah bergelar suami kepada Sari Yanti pada 25 Februari lepas.

Pasangan berkenaan mengadakan majlis pernikahan tanpa undangan media di Dewan Mercu Mustapha Kamal di Petaling Jaya.

Sari Yanti sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Eddy Casmadi pada 11 Disember 2014.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak, Barr Al Aly dan Basit Al Haq.

Rahim diminta mengulas sikap Jep yang dilihat kurang mesra media semasa majlis perkahwinannya.

“Saya tidak boleh mewakili dia sebab dia ada sebabnya yang tersendiri. Secara peribadi, saya rasa hubungan baik artis dengan media itu perlu.

“Kurang adil dan tidak berapa elok jika saya komen bagi pihak dia. Kita harapkan benda yang baik selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rahim berkata kehidupan berpoligaminya yang sudah masuk tahun kedua berjalan dalam keadaan baik.

Katanya, walau banyak pihak yang bercerita tentang isteri keduanya namun isteri pertama lebih banyak menemaninya ke acara hiburan.

“Saya banyak bawa isteri pertama. Isteri kedua jarang. Ini pun sebab saya minta. Siapa ikut perkembangan saya, tahu siapa isteri yang pergi.

“Isteri kedua dia faham kedudukannya. Jadi saya perlu menghargai dia. Tahun kedua kami jalani dengan baik. Doakan perkahwinan kami kekal.

“Kedua-dua isteri baik,” katanya.

Sumber: Projek MMO



Sumber Lepas kahwin, Rahim harap Jep jadi lebih matang

Post a Comment

Previous Post Next Post