Isu kuda tua dan pengkhianat negara, FAM beri penjelasan

Pemilihan 26 pemain untuk menjalani latihan skuad kebangsaan yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ternyata mengundang pelbagai kritikan peminat bola sepak tanah air.

Dua isu besar ditimbulkan menerusi pemilihan tersebut adalah pemain berstatus ‘kuda tua’ dan pemain bersara yang dipanggil semula sehingga dilabel sebagai ‘pengkhianat’.

Baca artikel sebelum: Digelar pengkhianat negara dan muka tak tahu malu, ini jawapan Aidil Zafuan

Mengulas tentang dakwaan skuad kebangsaan dibarisan pemain ‘kuda tua’, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampil memberi penjelasan yang menunjukkan bahawa tuduhan tersebut tidak tepat.

Jelasnya, hanya sembilan pemain sebenarnya berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai kuda tua manakala selebihnya 17 pemain lain adalah berusia di bawah 30 tahun iaitu tujuh pemain dalam lingkungan usia 22 hingga 25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26 hingga 29 tahun.

Selain itu, Hamidin berkata, ketua jurulatih baharu negara, Nelo Vingada merupakan seorang jurulatih yang meminati pemain-pemain muda dan beliau sendiri telah memberitahu akan memantau pemain-pemain dari skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lebanon pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk menilai pemain dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan adalah terbaik buat masa ini menerusi pemantauan oleh pembantunya, Tan Cheng Hoe.

“Pemilihan pemain-pemain tersebut bukanlah ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah senarai yang dicadangkan Cheng Hoe.

“Jadi para peminat, penyokong dan bekas-bekas pemain ini perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap senarai 26 pemain yang telah dipilih itu,” kata beliau.

Menyentuh tentang isu kedua iaitu kemasukan semula empat pemain yang sebelum ini telah bersara, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal, Hamidin berkata, keputusan itu merupakan kehendak pemain terlibat untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Malah tambah beliau, penyenaraian empat pemain ini dalam senarai 26 pemain dipanggil kali ini juga adalah berdasarkan faktor cadangan nama daripada Cheng Hoe supaya Vingada dapat menilai kesemua pemain lama dan baharu dalam pasukan ini.

Bagaimanapun, prestasi keempat-empat pemain itu akan dinilai semasa di kem latihan nanti dan tak semestinya mereka akan terus kekal dalam pasukan, jika gagal mempamerkan persembahan terbaik.

“Bagi saya, sesiapa saja tidak kiralah pemain kuda tua, pemain yang kembali daripada persaraan atau pun pemain muda sekali pun, jika terbukti mereka adalah yang terbaik, mereka boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Janganlah kita semua terlalu cepat menilai sebelum sempat pun pemain-pemain ini dan Vingada sendiri turun padang. Sudah tentu, kami semua di FAM ini termasuk Tunku Presiden sendiri dari hari ke hari sentiasa berfikir dan berusaha untuk meningkatkan lagi bola sepak di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Hamidin berharap pihak termasuk peminat, penyokong, bekas-bekas pemain serta pihak media untuk sama-sama memberi sokongan positif dalam membantu persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.
Sumber: MStar



Sumber Isu kuda tua dan pengkhianat negara, FAM beri penjelasan

Post a Comment

Previous Post Next Post