KUALA LUMPUR: Pembayaran sebanyak AS$600,000 (RM2.5 juta) yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada Persatuan Pemuliharaan Panda di China sebagai ‘hadiah' untuk setiap anak panda yang dilahirkan di negara ini disifatkan sebagai suatu bentuk pembayaran biasa dalam usaha menjaga hubungan diplomatik dengan republik itu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, negara boleh menikmati manfaat atau pulangan yang besar daripada nilai pembayaran tersebut kepada China sekiranya mampu menggembangkan dan membina hubungan luar yang lebih erat bersama negara itu.
“Pembayaran yang dibuat itu adalah suatu perkara yang normal tetapi sekiranya kita boleh menggembangkan hubungan dengan China secara baik dan berjaya membina hubungan diplomatik yang lebih bermanfaat, pembayaran yang dibuat itu boleh dianggap sebagai pelaburan untuk mendapat kebaikan yang besar kepada negara pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan yang dibuat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berhubung perjanjian antara Malaysia dan China yang perlu membayar AS$600,000 kepada negara itu bagi setiap anak panda yang dilahirkan disini selepas 12 bulan, selain memulangkan anak panda itu kepada China apabila usianya mencecah 2 tahun.
Sebelum ini, China bersetuju meminjamkan sepasang panda gergasi, Fu Wa (Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang) selama 10 tahun kepada Malaysia.
Pada Ogos lalu, panda gergasi itu selamat melahirkan seekor anak panda yang menjadikan kelahiran panda pertama di negara ini.
Menurut Wan Saiful lagi, tidak timbul isu berat sebelah yang termaktub dalam perjanjian tersebut memandangkan Malaysia bukan satu-satu negara yang turut menerima pinjaman haiwan itu.
Tambahnya, nilai pembayaran yang dibuat Malaysia kepada China merupakan satu nilai yang kecil jika dibandingkan dengan hubungan perdagangan yang telah terjalin antara negara itu.
“China adalah salah satu rakan niaga yang terbesar kepada Malaysia. Jadi, harga untuk menjaga hubungan baik dengan China itu jika dibandingkan dengan nilai yang diberikan merupakan satu nilai yang kecil,” katanya.
