Indah khabar dari rupa, perkhidmatan ‘patuh syariah’ Rayani Air diselar


KUALA LUMPUR, 20 Mac — Syarikat penerbangan Rayani Air sekali lagi mendapat perhatian warga media sosial selepas isu pematuhan syariahnya dipersoalkan beberapa ahli politik tanah air, termasuk timbalan menteri hal ehwal Islam sendiri.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui laman Facebook rasminya semalam mengingatkan Rayani Air bahawa aspek pematuhan syariah bukanlah berdasarkan pakaian pramugarinya sahaja.

“Rayani Air ini rupanya indah khabar dari rupa. Batalkan penerbangan sesuka hati hingga menyusahkan orang yang sudah mengatur pelbagai urusan.

“Ingatlah! Aspek pematuhan syariah bukan sekadar berbangga dengan peragaan pakaian krew yang menutup aurat tetapi termasuklah aspek menunaikan janji dan menepati masa.

“Kalau prinsip perkhidmatan yang asas seperti ini tidak dapat dipatuhi, usah mendabik dada mendakwa kononnya penerbangan pertama patuh syariah,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Catatan Asyraf mendapat reaksi hampir 3,000 pengikut dan dikongsi lebih 350 orang.

“Isunya jangan sewenangnya menggunakan perlambangan dan penglabelan Islam untuk melariskan jualan. Ditegah keras oleh Rasulullah,” tambah Asyraf dalam ruangan komen beliau, yang disukai lebih 150 pengikut.

Sementara itu, wakil rakyat DAP Lau Weng San turut menunjukkan bagaimana syarikat penerbangan baharu itu memberikan pas masuk dengan sekadar menulis butiran penerbangan di atas secebis kertas putih.

“Ini banyak ‘terror’ punya boarding pass. Tangan tulis punya, banyak lawa punya. Satu dunia tak ada, hanya Malaysia ada,” katanya yang berkongsi pengalamannya di Facebook.


Coretan beliau telah mendapat 'like' daripada hampir 150 pengikut dan dikongsi lebih 40 kali.

Bukan setakat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunku itu menunjukkan mesej tiga kali pertukaran waktu penerbangan yang diterimanya.

Lau yang sepatutnya terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching pada Jumaat menerima mesej, pesawatnya dijadualkan semula berlepas pada 11.45 malam namun ditukar kepada 1.45 pagi keesokannya.

Beliau kemudian dimaklumkan pesawat akan berlepas pada 5 pagi namun diawalkan pada 3.10 pagi.

Awal bulan lepas, lebih 200 penumpang pesawat Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.


Post a Comment

Previous Post Next Post