Negara Malaysia terbahagi kepada 14 buah negeri dimana setiap negeri mempunyai adat dan loghat percakapan yang berbeza.
Bercerita mengenai calon isteri pilihan lelaki Malaysia, populariti gadis dari Utara Semenanjung Malaysia tiba-tiba hangat diperkatakan. Wah! Ada apa dengan gadis utara?
Dipetik dari artikel Utusan Online, Pengurus Agensi Jodoh, Zainudin Mad Jaafar yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun menguruskan perniagaan mencari jodoh, mengakui bahawa wanita dari negeri-negeri utara lebih dicari lelaki berbanding wanita dari negeri lain.
“Saya pun tidak pasti apa keistimewaan wanita dari utara, tetapi berdasarkan pengalaman saya, lelaki banyak memilih wanita dari sana.
“Mungkin ada keistimewaan atau ciri-ciri tertentu yang diidamkan lelaki pada wanita-wanita dari negeri-negeri berkenaan,”kata Zainudin.
Justeru, ada apa dengan wanita dari utara sehingga mencetuskan tarikan terhadap lelaki dari negeri-negeri lain untuk disunting menjadi suri rumah?
“Ramai yang sangka wanita utara ini mulut kasar, tetapi mereka tidak boleh dinilai dengan hati dan perasaan,” kata seorang pelayar, Siti Hajar Long dalam ruangan komen di Facebook Utusan Online.
Mungkin ada benarnya. Perkataan yang keluar dari mulut wanita utara serta tingkah laku mereka dikatakan agak kasar. Namun dari segi lain, ramai yang menyifatkan wanita dari utara selain cantik, bijak dalam menguruskan suami dan keluarga.
Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Zakuan Adha Abd. Razak yang memperisterikan wanita utara iaitu pelakon, Ayu Raudhah yang berasal dari Alor Setar menjelaskan, wanita utara lemah lembut, pandai memasak dan menjaga hati mertua.
“Wanita utara ini memang pandai memasak dan bijak ambil hati. Kalau cakap pasal kecantikan, itu satu bonus,” jelas Zaquan Adha.
Sementara suami kepada pelakon Almy Nadia yang berasal dari Pulau Pinang, Fizz Fairuz juga bersetuju kebanyakan wanita utara pandai memasak dan menjaga hal rumah tangga dengan baik.
“Mana-mana negeri pun saya rasa sama sahaja. Cuma mungkin kelebihan yang ada mereka pandai masak. Seperti isteri saya, cakap sahaja, semua dia tahu masak.
“Lagipun wanita utara ini cantik-cantik. Tapi, seperti saya cakap, ini semua jodoh,” kata Fizz Fairuz yang juga seorang pelakon.
Selain cantik, pandai memasak dan pandai menguruskan rumah tangga, wanita utara juga dikatakan mempunyai sifat humor dan boleh bergurau.
“Wanita utara ini kelakar. Mereka kalau marah atau membebel, keluar semua bahasa dalam loghat utara yang kadang-kadang saya tidak pernah dengar,” kata suami pelakon Faezah Elai, Heykal Hanifah yang juga seorang pengarah drama.
Dalam pada itu, Pensyarah Program Kaunseling, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Sabasiah Husin berkata, wanita utara mempuntai karakter berdikari selain rajin bekerja dan mencari rezeki.
“Apa yang saya lihat, kalau mahu melangsungkan perkahwinan di utara lebih mudah. Tidak banyak ragamnya, tidak terlalu banyak prosedurnya,” kata Sabasiah.
Memang benar, tidak dinafikan gadis dari utara semenanjung Malaysia ramai yang cantik-cantik. Lihat sahaja kebanyakkan selebriti wanita tempatan juga kebanyakkannya berasal dari utara tanah air. Nampak gayanya jika benar apa yang diperkatakan, pasti hantaran untuk gadis utara melonjak-lonjak selepas ini?
Apa pun, setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza dan kecantikan adalah subjektif bagi setiap orang. Betul tak?