Aksi bola sepak klasik Gelugor tarik perhatian peminat

KUALA LUMPUR: Menghiburkan dan menarik perhatian peminat terutama anak muda.

Itu kesimpulan selepas tamatnya aksi perlawanan persahabatan bola sepak klasik membabitkan bekas pemain Terengganu era 1990-an di Padang Bola Sepak Gelugor Kedai, Marang, Terengganu, petang tadi.

Aksi Pasukan Pilihan Terengganu menentang pasukan Gelugor All Star yang terdiri daripada bekas pemain negeri serta bekas skuad Piala Presiden Terengganu itu nyata membuatkan kawasan sekeliling sesak dengan penonton yang mahu melihat kelibat bekas pemain bintang di padang.

AKSI bertenaga bekas penjaga gol Terengganu Era 90-an, Zubir Ibrahim (kanan) cuba menghalang percubaan pemain PDM Gelugur Kedai di Padang Bola Sepak Gelugur Kedai, Kuala Terengganu, petang tadi. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Perlawanan persahabatan itu diadakan khas sebagai tarikan utama Kejohanan Bola Sepak Veteran DUN Alur Limbat yang berlangsung selama dua hari bermula pagi tadi dan berakhir petang esok.

Pasukan Pilihan Terengganu diwakili penjaga gawang, Zubir Ibrahim; Zulharizam Awang; Mat Sidek Wahab; Adang Abdullah; Marzuki Yusof; Subri Sulong; Badrulhisham Abdullah; Othman Md Khiar; Zulkilfli Hamzah; Baharin Ahmad; Nasaruddin Yassin; Ariffin Abdullah; Shafie Abd Rahman serta Zainuddin Ismail.

Manakala Gelugor All Star menampilkan Kamaruddin Mustafa; Cik Ku Zain Ahmad; Mohamad Lazim Ali

Azmi Mustafa; Zulkilfli Md Zain; Saipuddin Alias; Omar Mat Ali; Khairuddin Elias; Sedi Mat Ali; Azahar Mamat dan Mohamad Ariffin

BEKAS pemain Terengganu Era 90-an dan PDM Gelugur Kedai bergambar kenangan sebelum sepak mula aksi persahabantan di Padang Bola Sepak Gelugur Kedai, Kuala Terengganu, petang tadi. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Pasukan Pilihan Terengganu menang dengan keputusan 2-0 hasil jaringan bekas pemain kebangsaan, Zulkilfli dan Nasaruddin.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin yang mengambil inisiatif mengumpul bekas pemain negeri itu berkata, perlawanan klasik itu berjaya mencapai matlamatnya.

"Kelompok pemain yang pernah berjaya kepada pasukan negeri tidak boleh dilupakan. Jadi, kami mengambil inisiatif ini untuk mengumpul mereka dan memberi peluang kepada peminat untuk melihat sendiri aksi pemain bintang yang pernah menjadi pujaan.

"Secara tidak langsung, kehadiran bekas pemain negeri ini menarik minat generasi muda dan memeriahkan lagi kejohanan veteran yang sedang berlangsung," katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan Bola Sepak Veteran DUN Alur Limbat, katanya sebanyak sembilan pasukan mengambil bahagian mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

Katanya, program seperti itu nyata berjaya memupuk semangat kesukanan tinggi di kalangan penduduk dan pada masa sama menggalakkan mereka untuk menyertai aktiviti lebih berfaedah.

"Bola sepak adalah sukan nombor satu negara. Melalui program seperti ini, banyak perkara positif yang diperoleh, bukan saja untuk bersukan tetapi juga daripada sudut kepemimpinan generasi muda," katanya.

Info: Kumpulan A

PDM Rawai

PDM Tebakang

PDM Pulau Manis

PDM Gelugor Kedai

PDM Banggol Tok Ku

Kumpulan B

PDM Beladau Selat

PDM Tasek

PDM Padang Midin

PDM Kepong



Sumber Aksi bola sepak klasik Gelugor tarik perhatian peminat

Post a Comment

Previous Post Next Post