32,700 hektar diwarta tanah rizab Orang Asli

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli berusaha mewartakan 134,000 hektar tanah sebagai tanah rizab Orang Asli secepat mungkin.

ismail-sabri

KUALA LUMPUR: Sejumlah 32,700 hektar tanah diwartakan sebagai tanah rizab masyarakat Orang Asli di seluruh negara manakala 20,000 hektar lagi mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk diwartakan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kementerian dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berusaha untuk mewartakan 134,000 hektar tanah penempatan Orang Asli sebagai tanah rizab Orang Asli secepat mungkin bagi mengelakkan isu pencerobohan dan pertelingkahan berkaitan penempatan penduduk masyarakat Orang Asli.

“Sejumlah 74,629 hektar tanah selesai diukur sepenuhnya dan akan dihantar ke kerajaan-kerajaan negeri untuk diluluskan. Tidak lama lagi semua tanah masyarakat Orang Asli akan diwartakan sebagai tanah rizab sepenuhnya kecuali 2 kampung di Pahang yang belum bersetuju.

“Insya-Allah selagi kerajaan hari ini terus kekal kita akan pastikan kita akan terus mengangkat martabat Orang Asli di negara kita. Kitalah yang berusaha menyelesaikan masalah masyarakat Orang Asli dan meningkatkan martabat masyarakat Orang Asli agar setaraf dengan kaum lain,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Orang Asli 2017 hari ini.

Beliau berkata 2 kampung yang belum bersetuju untuk tanah di penempatan itu diwartakan kerana terdapat pihak tertentu yang didakwanya cuba memberikan perspektif negatif terhadap matlamat kerajaan dalam membantu masyarakat Orang Asli.

“Nasihat saya agar jangan dengar sangat cerita bohong pembangkang. Kalau harapkan mereka tidak akan selesai, mereka tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan sedang giat membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli dan dijangka kemudahan itu dapat dinikmati sepenuhnya pada 2023.

“Pada masa ini kementerian telah menyediakan 84% kemudahan jalan kampung, bekalan elektrik (80%) dan bekalan air (79%) di kawasan perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Karnival Orang Asli 2017 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bagi memperkenalkan kepada masyarakat umum pelbagai aktiviti kebudayaan dan tradisi masyarakat Orang Asli daripada kesemua 18 suku kaum Orang Asli di negara ini.

Karnival itu menyediakan platform kepada usahawan Orang Asli bagi mengetengahkan keunikan hasil kraf dan produk Orang Asli termasuk produk berasaskan makanan, pertanian serta perkhidmatan dan pelancongan.

Karnival itu turut mempromosi kejayaan masyarakat Orang Asli dalam pelbagai bidang seperti bidang akademik, sukan dan keusahawanan.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber 32,700 hektar diwarta tanah rizab Orang Asli

Post a Comment

Previous Post Next Post