Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Enam

Hari 8

Bas tiba di Esfahan jam 5.30 pagi. Diluar masih gelap. Sebaik bas berhenti, pemandu kami yang diuruskan Masoud sambut dari dalam bas, namanya Hamid. Terpinga-pinga kejap. Laju dia angkatkan beg dan memandu terus ke rumahnya. Hari masih amat pagi untuk mulakan perjalanan, jadi katanya rehatlah dulu di rumah, isterinya akan sediakan sarapan. Kami angguk sahaja, masih mamai.

Jam 8 pagi, isteri Hamid dah sibuk rebus telur dan siapkan tempat sarapan. Isterinya guru sekolah rendah dan tak mahir berbahasa Inggeris. Usai sarapan, kami tumpang bersihkan badan dan mula meronda.

Bersama Hamid, tour guide kami.

Aku pernah terbaca, katanya kalau kita dah sampai di Esfahan, seumpama kita dah sampai 1/3 dunia. Banyak juga soalan aku dengan quotes tu, dunia yang mana misalnya? Apapun Esfahan adalah kota yang amat tersusun, senibina bersejarah dan unik. Esfahan adalah kota ketiga terbesar di Iran ya. Bangunannya, deretan kedainya, mural dinding, pokok meredup, bunga-bunga dan instalasi basikal melekat di bawah jejambat segera menangkap mata. Look at the bicycle, kata Hamid. Esfahan is bicycle city. There are free bicycle for everyone to use it in the public places. There are car free day, so this road will be close for cyclist activity.

Isfahan! Satu hari dalam seminggu, kanak-kanak sekolah di Iran akan melawat tempat bersejarah. Bagus sekali kan.

Khaju Bridge

Khaju Bridge.

Destinasi pertama kami, Khaju Bridge. Dibina oleh Raja Shah Abbas II pada tahun 1650. Menariknya jejambat dekat Esfahan ni adalah gerbangnya. Bukan gerbang di atas, tetapi bahagian bawah jambatan yang memanjang. Khaju Bridge ada patung singa menghadap bertentangan. Kata Hamid, pada waktu malam, matanya bercahaya merah. Bukan itu saja, Hamid sangat-sangat tahu sejarah tempatnya, dia tunjukkan kami cara berkomunikasi ala-ala radio karat tu di bucu-bucu gerbang yang bertentangan dan penghujung dua gerbang yang nampak seperti lilin. Tambahnya lagi, waktu dahulu, orang mandikan jenazah di bawah jambatan itu, dia tunjukkan terowong ke tempat mandi jenazah satu ketika dulu. Aku paling terpesona dengan cerita dia pasal air sungai. Sewaktu kami disitu, sungai kering. Menurutnya (kalau Hamid tipu aku tak tau lah), air sungai utama di Iran dikawal. Ada waktu ia akan berada di Yazd, Esfahan dan lain-lain. Ia dikawal dari empangan lagi yang akan menentukan ke mana ia harus pergi.

Gerbang Khaju Bridge. Kawasan memandikan jenazah satu masa dulu.

Pigeon Tower

Pigeon Tower

Sejarah menara merpati ni bermula pada era pemerintahan Safavid. Esfahan adalah ibu kotanya. Menara ini digunakan khas untuk burung merpati, tetapi bukan untuk dagingnya, hanya untuk najisnya. Najisnyanya diproses untuk buat baja. Mereka punya kegemaran terlampau kepada tembikai dan timun, dan baja dari tahi merpati dikatakan adalah yang terbaik untuk tanaman tersebut. Menara ini ada lubang kecil berukuran sama, khas saiz merpati kerana tak mahu kemasukan burung besar pemburu. Seterusnya tinjanya akan dikumpulkan sehari-hari. Pada waktu dahulu direkodkan ada 3000 menara merpati di seluruh Esfahan yang merosot kepada 300 kini dan 65 daripadanya dipelihara sebagai sejarah kebangsaan. Masih ada burung merpati yang hinggap di menara-menara ini. Tiket masuk berharga 500 IRR.

Pigeon. Dari atas menara, dapat kita lihat hampir keseluruhan Isfahan. Isfahan City.

Vank Kathedral

Vank Kathedral.

Penduduk Iran bukan semuanya beragama Islam. Di Esfahan, ada lima agama dibawah satu bumbung iaitu Islam, Kristian, Yahudi, Bahai dan Zoroastrian. Kami tiba di kawasan penduduk Kristian dan Yahudi, kawasan mereka berhadapan dan dikhabarkan antara hartanah termahal di Esfahan. Majoriti penduduk di kawasan Kristian berbangsa Armenia. Armenia merupakan bangsa terawal memeluk agama Kristian dan mendirikan kerajaan Kristian (301 M). Lukisan di dinding hingga siling gereja ini amat memukau.

Lukisan di dalam gereja yang memukau.

Ada beberapa bangunan di dalam kawasan gereja ini, termasuk muzium. Berdekatan pintu masuk gereja, ada roda kronologi tragedi Armenian Massacre. Sejarah Armenia ni panjang dan kompleks, dari daerah kerajaan Parsi, dijajah oleh Rom, Arab dan Mongol ke arah pakatan membentuk republik bersama Soviet sehingga penjajahan empayar Safavid dan Uthmaniyyah pada penghujung kekuasaannya. Pada waktu ini pembunuhan massa bangsa Armenia terjadi, dilaporkan 1.5 juta bangsa Armenia yang menduduki Anatolia lenyap. Ia bermula pada tahun 1915 hingga 1922. Segala dokumen, sejarah mereka dicatat dan dipamer. Paling menyayat hati menonton imej-imej yang tertera di televisyen. Rakyat Armenia sedang berjuang dan giat mendapatkan sokongan negara-negara lain supaya kejadian genosid ini diakui. Kerajaan Turki tidak mengakui peristiwa ini secara sah.

Aku memang benci perang dan segala jenis cleansing, tak kiralah siapa yang melakukannya atas tujuan apa sekalipun. Sesekali nenek yang berdiri disebelah mengesat air mata sambil melihat imej di skrin. Kami berdua terdiam lama. Tiket masuk berharga 150,000 IRR.

Tempat duduk archbishop. Armenian Genocide Chronology. Armenian Genocide Chronology. Pembunuhan berskala massa ini dimulakan terhadap cerdik pandai terlebih dahulu, penulis, tentera, pekerja, middle class. Dokumen-dokumen yang dicatat semasa genosida berlangsung. Paling menyayat hati arahan keep the orphans who didn’t rememer the catastrophic death of their parents, others can join the caravan. Quran yang didalam bahasa Armenia.

Gospel. Zoroastrian Fire Temple.

The Monar Jonban (Shaking Minaret)

Shaking Minaret.

Pada jam 1.30 tengahari, satu keajaiban akan terjadi di menara ini dimana seorang pekerja akan menggoyangkan sebelah menara dan menara satu lagi ikut bergegar. Kami tak masuk ke dalam, hanya menontonnya dari taman diluar. Kata Hamid tiket masuknya mahal dan lebih baik kami berjimat.

Sewaktu dalam teksi, Hamid sibuk mengajar kami bahasa Parsi yang asas, bersemangat tentang bandarnya dan sibuk bersahutan dengan kereta sebelah sewaktu berhenti.

Check in di Hotel Hakim dengan tangan penuh plastik makanan tiga manusia yang lapar, rehat dan menunggu malam untuk ke satu lagi jambatan legendaris.

Si-O-Seh Pol

Si-o-seh Pol.

Jambatan dengan gerbang berkembar yang memukau sepanjang 297.76 meter ini adalah hasil senibina pemerintahan Safavid paling popular. Paling cantik di waktu malam dengan lampu-lampunya. Kawasan ini penuh dengan orang tempatan berlibur, ada yang main muzik, yang berlari merentas gerbang serta berpacaran. Si-O-Se Pol bermaksud jambatan dengan 33 gerbang. Ia dibina oleh arkitek Armenia dan 33 merujuk umur kematian Jesus.

Si-o-seh Pol dengan simbahan cahaya memukau. 33 gerbang Si-o-seh Pol. Terjumpa ala-ala Love Tunnel macam di Korea.

Naqsh-e Jahan (Imam Square)

Naqsh-e Jahan (Imam Square)

Aku rasa inilah dataran paling mengagumkan aku pernah lihat. Sangat-sangat luas hingga bersambung dengan dua masjid, bazar kraf serta kawasan universiti. Dataran ini juga disenaraikan sebagai Unesco’s World Heritage. Refleksi senibinanya pada kolam air mengasyikkan.

Masjid di Imam Square.

Pulang ke hotel berjalan kaki, hampir 15 minit dan jangan kau risau, ia bandar yang selamat untuk perempuan meskipun pada waktu malam.

Hari 9

Ini adalah hari yang penting dimana kami akan ke kampung tradisional Abyaneh yang terletak antara Esfahan dan Kashan. Hamid sudah mengingatkan kami berkali-kali supaya tak lewat, perjalanan kesana mengambil masa hampir dua jam, dia mahu bergerak tepat waktu. Usai sarapan Hamid pun tiba, kami mula bergerak. Keluar dari kawasan Esfahan, di kawasan luar bandar kami nampak kawasan rumah apartmen dengan taman yang agak besar, kata Hamid kawasan itu adalah rumah-rumah yang kerajaan bina dan beri percuma untuk golongan tak berumah dan miskin. Ia terletak berdekatan ladang bunga matahari dan kilang-kilang.

Perjalanan melalui gunung ganang berbatuan, aku hanya sedar sewaktu kami mula memasuki kawasan bernama Natanz. Hamid berhenti ditepi jalan Dia mahu beli roti dibuat sarapan. Kami berlegar-legar di hadapan masjid berdekatan, ada pelancong dari Perancis juga disitu.

Roti siap, Hamid koyakkan sebahagian roti dan diletakkan seperti bergedil yang isinya kentang dengan telur dibekalkan isteri tercinta. Ringkas begitu saja sarapan pagi Hamid. Kami melalui roundabout, ada lori yang mengisi air tin dan roti. Kata Hamid, mereka sedang siapkan bekalan untuk Hari Arbaen, lori-lori tersebut akan ke Iraq. Aku tanyakan pada Hamid, bagaimana mereka menyambut Hari Arbaen? Hari Arbaen adalah empat puluh hari selepas 10 Muharram iaitu tarikh kematian cucunda Rasulullah SAW di Karbala. Hari Arbaen, hari Ashura, hari kewafatan Rasulullah antaranya ditanda sebagai cuti umum di Iran. Tambahnya lagi 90% penduduk Iran akan pergi ke Iraq untuk menyambut Arbaen dalam tempoh 20 hari, 10 hari sebelum atau 10 hari selepas tarikh. Penduduk Iran tak perlukan visa pada hari tersebut. Mereka akan berjalan kaki dari Najaf ke Karbala sejauh 80km menziarahi makam Imam Ali dan Imam Husain. I’m impressed how faith moved people.

Abyaneh Village

Abyaneh Village.

Abyaneh terletak dikawasan gunung, untuk sampai, kami perlu melalui kawasan Hanjan. Sebelum Hanjan, Hamid suruh kami letakkan telefon bimbit ke bawah dan tak ambil gambar. Rupanya kami lalu di kawasan pembangunan nuklear. Ada bangunan pintu masuk dan selebihnya cuma kawasan lapang. Kereta kebal siap sedia disitu. Rupanya ia terletak di bawah tanah seluas 55km, dahsyat. Ada tiga kawasan pembangunan nuklear di Iran, satu disini, Qom dan Arak. Atas sebab inilah kuasa-kuasa dunia berjaga-jaga.

Tiket masuk ke Abyaneh Village berharga 100,000 IRR siap dengan tiket merangkap peta serta buku kecil panduan apa yang ada didalamnya. Abyaneh Village berusia 2500 tahun, penduduknya diangkat sebagai living heritage of Iran. Sebelum tiba, kami berhenti minum teh di kolam buatan petani tempatan untuk minum teh yang dah siap sedia di bonet. Airnya mengalir dari gunung, kolam dibuat sebagai tadahan air untuk kegunaan pertanian dan minuman.

Kolam air dibikin petani di Abyaneh. Penjual timbangan dan loceng di Abyaneh. Baju tradisional, macam baju kurung. Abyaneh Village.

Beberapa persinggahan dan kami tiba di Abyaneh Village akhirnya. Hamid bawa kami pusing satu kawasan yang ambil masa hampir dua jam setengah. Mula dari pintu masuk, melihat masjid lama, kawasan kuil Zoroaster, melihat pakaian tradisional mereka sehingga ke ladang epal. Di ladang epal, ada satu istana lama yang perlu sedikit pendakian, dari situ kita akan nampak teres Abyaneh Village yang amat-amat indah. Angin bertiup kuat, dan pokok-pokok yang tinggi disitu seakan keluarkan melodi setiap kali angin menyentuh badannya.

Ladang epal! Dapat petik sendiri. Epal. Abyaneh Village yang merah dan memukau. Abyaneh Village.

Kami tinggalkan Abyaneh dengan berat hati. Ia terlalu indah dan masa mencemburui. Hamid memandu terus ke Kashan. Di Kashan, kami berpisah dengan Hamid, kos tour di Esfahan dan Abyaneh hingga Kashan adalah 120 USD. Bas perlahan-lahan bertolak ke Jonoob Bus Terminal di Tehran. Dari situ, kami ambil bas ke wilayah utara Iran iaitu Tabriz. Perjalanan ke Tabriz ambil masa 9 jam, kami akan tiba esok paginya. Kami bertiga saja perempuan yang menaiki bas itu, penumpang lain semuanya lelaki. Pemandu suruh kami duduk di seat hadapan. Doa kami semoga yang baik-baik sahaja. Mata makin berat, dan kami tiba didalam dunia mimpi masing-masing.

Hamid tunjukkan najis keldai. Katanya, najis keldai mahal. Lebih-lebih lagi najis keldai betina yang bunting. Waktu bunting, mereka akan makan tumbuhan dan buah yang baik sahaja membuatkan najis mereka berkualiti. Najisnya digunakan untuk wanita, dibakar dan dibuat seperti proses bertangas kering.

Bersambung

Alynn Sharuddin

#MaklinJalanJalan
#Iran



Sumber Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Enam

Post a Comment

Previous Post Next Post