ISKANDAR PUTERI, 18 Dis — Ramai peminat termasuk kanak-kanak mahu berswafoto dengannya sejak menyertai Gegar Vaganza (GV4), kata penyanyi Aishah.
Beliau juga menerima banyak tawaran menyanyi termasuk di Singapura setelah lapan minggu penyertaan dalam program tersebut, lapor Berita Harian.
“Peminat pula semakin ramai. Saya terkejut apabila ramai kanak-kanak mula mengenali saya. Lucu apabila saya ke masjid, mereka memanggil nama saya Aishah.
“Sekarang ini, kalau berjalan ke mana-mana, memang ramailah yang nak selfie. Saya layankan saja,” katanya, selepas menjuarai program realiti itu malam tadi.
Aishah mendapat markah 81 peratus, mengalahkan lima peserta lain termasuk Liza Hanim (79 peratus) dan Lan Kristal dengan 70.4 peratus.
Penyanyi lagu Janji Manismu menganggap kejayaannya malam tadi memberi “makna yang cukup besar” sepanjang 30 tahun menjadi insan seni.
“Saya hanya mahu bernyanyi. Selama ini, kalau menyebut nama saya pun, orang akan ingat saya sebagai penyanyi.”
Sumber Aishah layankan ajakan swafoto di masjid