Ambulans minta beri laluan tapi Mat rempit kurang ajar himpit, tarik dan belasah pemandu ambulans bertubi-tubi, jurawat sedang jaga pesakit ditendang

HANYA kerana menegur mat rempit yang sedang berlumba, pemandu ambulans menerima empat jahitan di kening akibat ditumbuk kumpulan remaja terbabit.

Dalam kejadian 1.40 pagi berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pemandu berusia 53 tahun itu cedera di kening kanan, manakala seorang jururawat wanita turut ditendang.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia bersama pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping untuk menghantar seorang pesakit.

“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol berkenaan, saya lihat terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang lumba haram.

“Saya bertindak menegur dengan pembesar suara agar mereka memberi laluan, namun ia menyebabkan kumpulan terbabit marah dan mula menghimpit ambulans dengan motosikal.

“Seorang daripada penunggang terbabit terjatuh dan kumpulan berkenaan kemudian menyekat kenderaan saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, antara empat hingga enam remaja lelaki kemudian cuba menariknya keluar dari ambulans sebelum menumbuk mukanya hingga cedera dan membelasahnya bertubi-tubi.

“Jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu dan meleraikan kumpulan terbabit, namun dia turut ditendang.

“Apabila orang ramai di kawasan terbabit mula menyedari kejadian, kumpulan remaja berkenaan melarikan diri dan kami meneruskan perjalanan menghantar pesakit,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai menghantar pesakit dia membuat laporan polis di Taiping sebelum pulang ke Parit Buntar untuk dapatkan rawatan.

“Saya berjaya mengecam nombor pendaftaran motosikal seorang daripada remaja yang memukul saya, manakala motosikal lain tiada nombor pendaftaran.

“Difahamkan polis sudah mengenalpasti pemilik motosikal terbabit dan tindakan serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Akibat kejadian itu kening saya kena empat jahitan kerana luka ditumbuk,” katanya.

Katanya, lokasi kejadian memang sering dijadikan litar lumba haram membabitkan motosikal dan kereta terutama pada malam minggu.

“Saya sering lalu jalan terbabit dan biasanya malam minggu bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi pasti ada kumpulan mat rempit dan kereta yang berlumba di lokasi berkenaan,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Ambulans minta beri laluan tapi Mat rempit kurang ajar himpit, tarik dan belasah pemandu ambulans bertubi-tubi, jurawat sedang jaga pesakit ditendang

Post a Comment

Previous Post Next Post