'Dia cerita dia sakit, sumpah sedih sebab aku tak dapat buat apa-apa' - Sedih rakan baik hidap kanser Liposarcoma tahap 4

"Fizah koma selama seminggu. Selepas sedar, Fizah di tebuk lubang pada lehernya kerana oksigen tidak cukup disebabkan paru-paru Fizah kena buang lagi. Semua bahagian yang kena kanser macam hati, enam tulang rusuk kanan semua kena buang."
Penyakit kanser bukan penyakit yang boleh dipandang ringan. Silap makan,silap pantang boleh menyebabkan penyakit ini terus merebak. Hanya pesakit kanser sahaja yang mengetahui fasa kesakitan yang dilalui. Oleh yang demikian juga, pesakit kanser ini memerlukan sokongan fizikal dan mental daripada orang di sekelilingnya untuk terus berjuang memerangi kanser.
Norhafizah merupakan pesakit kanser Liposarcoma tahap empat bertuah kerana dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang sentiasa memberikan sokongan padanya. Purnamawati merupakan salah seorang kawannya sejak di bangku sekolah lagi, melalui bebenang di Twitter berkongsi kesakitan dan semangat Fizah yang melawan penyakit kanser itu.
THIS thread is about one of my great friend, Norhafizah binti Md Nor. She'd suffer from Liposarcoma Stage 4. Sudah lama  sakitnya. Masa zaman SPM lagi dah mula sakit. Selalu batuk-batuk. Kalau pergi kelas selalu bawa minyak angin.  Fizah duduk meja depan aku dalam kelas. 
Masa upu pertama keluar. Dia tidak menyambung pelajaran kerana perlu ke hospital. Pada April 2016 adalah pembedahan pertama dalam hidup dia. Pembedahan ni adalah pembedahan untuk buang sel kanser dekat paru-paru dia.
Alhamdulillah pembedahan berjaya. Dan Fizah hidup dengan paru-paru kiri dan separuh paru-paru kanan. Tetapi berat badan fizah turun mendadak. Walau apa pun, Fizah gembira sangat kerana semua yang dia hadapi sudah tamat. Fizah boleh sambung belajar macam orang lain.
Tetapi, sel kanser pada sebelum ni sempat menyerang organ lain. Dan sebelah kanan badan Fizah sudah ada ketumbuhan. Selepas buat pemeriksaan di hospital sekali lagi,doktor menyatakan perlu dibuat kimo. Jadi bermula dari September sehingga October 2016 dia sudah jalani 33 kimo di HKL.
Tetapi hal ini langsung tidak patahkan semangat dia. Dia masih sambung belajar. Fizah dapat sambung belajar di UITM Raub. Dalam kesakitan macam tu, dia masih pergi ke kelas. Sumpah aku tabik pada  Fizah. Kalau aku, mungkin tidak. Sudah pasti aku melingkar di rumah seperti ular sawa tua.
Selepas tu, alhamdulillah aku ada rezeki pergi jenguk Fizah di rumahnya awal tahun, tahun lepas. Masa tu aku sumpah terkejut jumpa dia. Kurus sangat. Aku suruh dia makan banyak. Dia kata sudah makan. Tetapi berat masih turun.
Pada awal tahun 2017 kanser  merebak pada bahagian hati.  Tiga bulan juga dia kena turun naik turun naik HKL untuk kimo lagi. Dia tinggal di Jerantut. Abang,  kakak dia semua sudah bekerja. Mereka selalu bergilir-gilir hantar Fizah ke HKL.
Fizah selalu cerita dengan aku macam-macam, dari dia duduk hospital jumpa dengan macam-macam jenis orang yang ada macam-macam penyakit, sampailah penat lelah dia macam mana dia hadapi semua ni.
Pada mulanya dia dapat Dr George sebagai doktor  yang jaga dia. Tetapi akhirnya dia dapat Dr Nara. Dr Nara ni seakan terkejut apabila dapat tahu sebab Fizah tidak dibedah. Kenapa nak kena kimo je? Sebab kimo ni salah satu cara untuk lemahkan sel kanser sahaja. Selepas tu Dr Nara kata dia akan usulkan hal Fizah ini untuk pembedahan.
Tunggu punya tunggu, ketumbuhan Fizah makin besar. Keputusan pembedahan belum keluar lagi. Fizah semakin hari semakin teruk. Makan pun kena pantang, kadang-kadang tidak ada selera.  Ketumbuhan dia macam luka, jadi selalu kena cuci. Dia kena guna gauze dan semua dia buat sendiri.
Ada sekali itu, lepas dia buka gauze itu habis darah keluar. Luka itu makin teruk. Menangis dia cerita dengan aku, sakit dia kata. Sumpah sedih sebab aku tak mampu buat apa.
Tarikh pembedahan keluar, pada 16 dan 17 Januari 2018. Semasa tahu keputusan tu pada pertengahan tahun 2017. Ada lagi lima hingga enam bulan untuk tunggu pembedahan tu. Kadang-kadang Fizah macam sudah putus harapan. Tetapi nasib baik keluarga dia selalu bagi kata-kata semangat pada dia.
Pada 8 Januari 2018, aku sempat melawat Fizah di Hospital Temerloh. Masa itu aku tengah peperiksaan akhir. Mujur ada pensyarah aku, dia boleh tolong hantarkan. Aku ke sana bersama Anis (schoolmate aku dengan unimate juga kami berpisah tiada)  Naziha.
Aku dengan Anis memang tidak mampu berkata apa-apa melihat Fizah yang semakin kurus. Mujur ada Naziha yang menceriakan keadaan. Aku diam sahaja, sedih. Fizah ini berusaha tidak mahu tunjuk dia ini sakit. Dia melawak dan  siap menngumpat lagi (hahaha) sebab tak mahu kami risau.
Masa aku pergi lawat itu, kebetulan doktor datang memeriksa dia. Doktor tu cakap  "Hafizah. Awak esok akan dipindahkan ke HKL. Selepas itu tunggu rawatan selanjutnya di sana"
Sumpah nasib aku baik sebab pergi melawatnya hari itu! Kalau tidak, tidak tahu bila boleh jumpa lagi. Fizah kena duduk di sana sehingga pembedahan dijalankan. Dr Nara kata ini adalah kes terbesar yang terjadi di HKL. Tarikh pembedahan ini lambat disebabkan pembedahan yang paling rumit. Banyak yang perlu dibedah dan sebagainya. Fizah perlu ke  pusat pembedahan plastik untuk tengok bahagian mana boleh guna untuk tampal selepas pembedahan nanti. Banyak prosedur tetapi Dr Nara ini tenang saja. Dia suruh Fizah kuat semangat  dan yang lain jangan risau.
Pembedahan sepatutnya berjalan pada 16  haribulan ditunda atas sebab-sebab tertentu. Pun tiba. Fizah  akan dibedah pada 18 & 19 Januari 2018.
Hari pertama pembedahan pada 18 Januari. Pembedahan ini berjalan selama 12 jam dan alhamdulillah Fizah stabil selepas pembedahan. Tetapi tak dapat gembira lagi sebab pembedahan esoknya ada lagi. 
Hari kedua pembedahan pada 19 Januari, iaitu hari penentu segalanya. Pembedahan kali ini dijangkakan akan mengambil masa selama 10 jam dan lagi complicated dari semalam. Banyak prosedur walaupun kurang beberapa jam dari pembedahan sebelum ini. Sekali lagi lafaz syukur dilafazkan kerana pembedahan selesai selepas lapan jam Fizah bertarung di dalam dewan bedah.
Fizah koma selama seminggu. Selepas sedar, Fizah ditebuk lubang pada lehernya kerana oksigen tidak cukup disebabkan paru-paru Fizah kena buang lagi. Semua bahagian yang kena kanser macam hati, enam tulang rusuk kanan semua kena buang.
Just by looking at her, smiling like this, touched me so bad. How come she can still smile lepas semua benda yang dia alami. Kuatnya seorang Hafizah. Sekarang Fizah sudah boleh masuk wad  biasa dan tunggu masa untuk balik rumah.
Kepada sesiapa yang nak hulurkan bantuan ringankan beban keluarga Fizah boleh salurkan ke akaun Maybank kakak kandung Fizah.
Norhayati Md Nor (156141376043)
Nombor Telefon (0179701757) 


Sumber 'Dia cerita dia sakit, sumpah sedih sebab aku tak dapat buat apa-apa' - Sedih rakan baik hidap kanser Liposarcoma tahap 4

Post a Comment

Previous Post Next Post