Skuad Man City paling mahal dalam sejarah

PARIS: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City mempunyai skuad paling mahal dalam sejarah, menurut laporan yang diterbitkan oleh agensi pemantau bola sepak CIES yang berpangkalan di Switzerland.

Kajian berkenaan menilai skuad Pep Guardiola sebanyak 878 juta euro (RM4.2 bilion), dengan Paris Saint-Germain di tempat kedua pada 805 juta euro (RM3.9 bilion), selepas jendela perpindahan Januari yang menyaksikan City mendapatkan bek tengah, Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao pada harga 65 juta euro (RM314.9 juta).

KAJIAN menilaikan skuad Citizens sebanyak RM4.2 bilion dan Pep Guardiola (kanan) membelanjakan untuk enam pemain. - Foto Reuters

Perpindahan termahal dunia membabitkan Neymar dari Barcelona hampir separuh daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan PSG, tetapi Kylian Mbappe hanya dipinjamkan, walaupun yuran perpindahan mencecah 180 juta euro (RM872 juta) perlu dibayar kepada Monaco menjelang akhir musim ini.

Ia meletakkan Guardiola sebagai pengendali kelompok pemain paling mahal dalam sejarah.

"Apabila anda ingin bersaing di peringkat tertinggi, anda perlu berbelanja," kata Guardiola bulan lalu.

"Ada kelab berbelanja 300 juta pound (RM1.6 bilion), 400 juta pound (RM2.2 bilion) untuk dua pemain. Kami membelanjakannya untuk enam pemain."

City mendapatkan bek tengah, Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao pada harga RM314.9 juta. - Foto Reuters

Dua pasukan lain yang membelanjakan lebih daripada 700 juta euro (RM3.4 bilion) untuk membentuk skuad mereka adalah Manchester United (RM3.6 bilion) dan Barcelona (RM3.5 bilion).

Pasukan-pasukan lain yang mengisi kelompok 10 teratas ialah Real Madrid di tangga keenam, Juventus kelapan dan empat kelab EPL iaitu Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Everton.

Kajian itu turut mengira purata kos skuad EPL yang mencatat nilai tertinggi 291 juta euro (RM1.4 bilion), jauh mengatasi kos purata skuad La Liga pada 131 juta euro (RM634.6 juta). - AFP



Sumber Skuad Man City paling mahal dalam sejarah

Post a Comment

Previous Post Next Post