Straw Buluh Ganti Straw Plastik, Usaha Nook Cafe Jaga Alam Sekitar Layak Jadi Contoh

Straw Buluh Ganti Straw Plastik, Usaha Nook Cafe Jaga Alam Sekitar Layak Jadi Contoh

Foto: Anas Amdan/Nook Cafe

Setiap langkah yang kecil itu lama-kelamaan akan memberikan impak yang besar. Sama juga seperti usaha sebuah kafe kecil ini untuk menjaga alam sekitar, usaha awal mereka pastinya akan membuahkan hasil kelak.

Suasana santai Nook Cafe.

Nook Cafe terletak di bandar Kota Kinabalu, Sabah. Kafe ini diusahakan oleh pemiliknya, Anas Amdan, 30, dan isterinya, Zarifah Fowzi, 29, yang berasal dari Kota Kinabalu. Anas yang berasal dari Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah ke Kota Kinabalu, pada mulanya menyimpan minat untuk memiliki sebuah kafe sedari mereka berdua melanjutkan pengajian di Brisbane, Australia. Kini, biarpun sama-sama menguruskan kafe ini, Anas merupakan seorang penerbit muzik manakala Zarifah merupakan seorang ahli farmasi.

 Anas Amdan dan Isterinya, Zarifah Fowzi.

Mendapat ilham nama Nook dari perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud ruang kecil, Nook Cafe menawarkan tempat untuk para pelanggan menikmati makanan dan santai kopi bersama teman dengan sepenuh keselesaan. Setelah dua tahun beroperasi, Nook Cafe kini menyediakan kawasan yang lebih besar untuk sebarang penganjuran majlis.

 Buat peminat kopi.

Berbezanya Nook Cafe berbanding kafe-kafe lain di Kota Kinabalu, Nook Cafe lebih bersifat mesra alam sekitar. Menurut Anas, "Sebenarnya idea ini datang dari isteri saya, dia selalu cerita pasal keburukan pengunaan plastik sampai kami setuju untuk melaksanakan kempen kesedaran alam sekitar ni."

 Straw buluh menggantikan straw plastik.

Sebagai langkah pertama dalam membantu menjaga alam sekitar, Nook Cafe mahu mengurangkan penggunaan plastik. "Kami mula dengan penggunaan penyedut minuman plastik. Itulah yang paling cepat orang pakai buang. Minum tak sampai 20 minit, tapi 200 tahun kemudian pun plastik tetap tidak lupus kerana plastik adalah bahan yang tidak boleh lupus. Kemudian kami berkesempatan bertemu dengan 'The Usuk', pengeluar penyedut minuman buluh."

 

"Penyedut minuman buluh ini boleh diguna kembali dan memberi manfaat. Selain buluh, kami turut gunakan penyedut minuman besi tahan karat yang boleh digunakan sepanjang hayat. Selain untuk kegunaan pelanggan, penyedut minuman buluh dan besi ini turut dijual berasingan jika ada yang berminat untuk membeli", ulas Anas lagi. 

  Straw besi tahan karat juga ada.

Nook Cafe turut mengamalkan penggunaan bekas makanan jika beli secara bungkus. Andai kata anda sering membeli makanan secara bungkus dan bawa bekas makanan sendiri, anda akan dapat rebat RM1 sebagai tanda sokongan.

 

Antara menu popular yang menjadi pilihan pelanggan di Nook Cafe ini adalah grilled cheese sandwich, yoghurt bowl dan waffles. Setiap orang yang datang samada dari Kota Kinabalu mahupun semenanjung Malaysia, pasti akan memilih menu kegemaran ramai ini. Selain mesra alam sekitar, Anas turut mahukan Nook Cafe ini berwajah mesra pengguna, dimana sesiapa juga boleh datang dan bersantai di sini.

 Penggemar OOTD pasti suka kafe ini.

"Kami perasan juga banyak kafe di luar sana terutamanya di KL agak fancy sampai kita segan nak masuk. Jadi kami mahu lari dari konsep kafe moden eksklusif sehingga menakutkan orang. Kami buka kafe ini untuk segenap lapisan masyarakat dan kami suka melihat kafe kami menjadi pilihan orang dari pelbagai latar belakang", jelas Anas lagi. 

 Antara menu popular di Nook Cafe.

Apa yang paling penting sekali apabila membuka sebuah kafe adalah makanan dan minuman yang dihidangkan berkualiti dan menepati citarasa. Anas dan Zarifah amat berbesar hati menerima maklumbalas yang positif terutamanya dari media sosial tentang makanan dan usaha menjaga alam sekitar mereka. Jika ada komen negatif, mereka ambil sebagai pengajaran dan memperbaiki mutu Nook Cafe

 Ruangan outdoor.

Menjadi tumpuan warga Kota Kinabalu sendiri, Nook Cafe turut pernah menerima kunjungan rakan selebriti seperti Aizat Amdan yang merupakan adik Anas, Fattah Amin, Faizal Tahir, Noh Salleh, Mizz Nina, Vivy Yusof, Nurul (Mimpikita) serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun. 

 Antara rakan-rakan selebriti yang pernah berkunjung.

Dari sekecil langkah untuk menjaga bumi kita, Anas berharap perniagaan dari semua industri turut sama berusaha menjayakannya. Kalau bukan kita yang menjaganya, siapa lagi. Dari langkah kecil ini jugalah harapnya dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk lebih sedar dan tahu tentang pentingnya menjaga alam sekitar kita. Sama-sama kita bantu dan sokong misi Nook Cafe untuk menghentikan pengunaan plastik. 

 

Sumber Straw Buluh Ganti Straw Plastik, Usaha Nook Cafe Jaga Alam Sekitar Layak Jadi Contoh

Post a Comment

Previous Post Next Post