Azwan Kombos Mahu Kahwin Pakai Baju Bajau

Umum sudah pun mengetahui bahawa Azwan Kombos baru-baru ini sudah merisik bakal isteri pilihan hatinya di kediaman rumah pelakon pendatang baru, Ezzaty Abdullah di Bentong, Pahang pada Isnin lalu.

Menurut aktor kelahiran Sabah berketurunan Bajau dari daerah Kota Belud ini, menerusi perbincangan semasa merisik tempoh hari, dia dan Ezzaty sepakat untuk mengenakan pakaian dari masyarakat kaum Bajau pada hari persandingan mereka nanti.



Pun begitu, Azwan mengulas lanjut perkara itu akan dibuat selepas majlis resepsi pertama yang akan diadakan di Kuala Lumpur terlebih dulu.

“Mula-mula kami akan bernikah di kediaman Ezzaty di Bentong, kemudian resepsi di rumah pengantin perempuan dan selepas itu barulah resepsi di sebelah pihak saya di Kuala Lumpur. Tempatnya belum dapat dipastikan lagi sebab masih lagi dalam proses mencari-cari tempat yang bersesuaian.  

“Selepas semua ini selesai barulah saya akan buat majlis di Sabah pula dengan konsep tradisi orang Bajau. Jadi kenalah pakai baju kaum Bajau dan saya sangat teruja ,” jelas Azwan mengenai perancangan bagi majlis perkahwinannya kelak.  

Sementara itu, Azwan turut berkongsi selepas berita merisiknya tersebar dia sudah pun menerima panggilan untuk tajaan kelengkapan perkahwinan.

"Alhamdulillah selepas berita saya sudah merisik Ezzaty. Saya ada menerima panggilan untuk ditaja seperti pakaian pengantin, khemah dan sebagainya," katanya.

Jelas aktor berusia 31 tahun ini terbuka hati untuk menerima tajaan dari mana-mana pihak yang sudi.

Dalam perkembangan lain, Azwan kini sedang menjalani penggambaran drama Mak Cun 2.

Baca di website

Post a Comment

Previous Post Next Post