Hampir 6,000 Wanita Dirogol Pemandu Uber Akibat Silap Eja?

WASHINGTON DC – Firma pengangkutan awam terbesar dunia, Uber terpaksa menyangkal satu laporan portal antarabangsa yang dakwa lebih 5,800 penumpang wanitanya di pelbagai negara memfailkan aduan rogol.

Namun syarikat berpangkalan di San Francisco, California tersebut yang menawarkan khidmat tempahan teksi eksklusif secara atas talian itu mengakui, seramai 170 penumpang mendakwa diserang secara seksual sejak 2012.
Pemeriksaan rekod Uber menunjukkan terdapat ‘dakwaan serangan seksual yang sah’ dalam 170 kes antara Disember 2012 hingga Ogos 2015, menurut kenyataan syarikat yang ditubuhkan sejak 2009 itu baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, hanya ada lima dakwaan kes rogol, iaitu satu dalam setiap 3.3 juta perjalanan menerusi khidmat Uber, atau nisbah 0.0000009 peratus perjalanan melibatkan lebih 300 bandar raya di 58 buah negara.
Pasukan keselamatan Uber mengeluarkan perangkaan itu setelah satu laporan portal terkenal Buzzfeed yang berdasarkan analisis petikan gambar dari satu pangkalan data menyatakan ribuan kes rogol oleh pemandu Uber.
Ia turut memetik laporan dalaman yang menunjukkan ‘serangan seksual’ berlaku dalam 6,160 kes dan ‘rogol’ berlaku dalam 5,827 insiden sekali gus mencetuskan panik khasnya penumpang wanita pengguna teksi Uber.
Bagaimanapun Uber menyatakan bahawa perangkaan yang dikeluarkan BuzzFeed itu sebagai ‘amat mengelirukan’ kerana ribuan penumpang Uber sering tersilap mengeja perkataan ‘rate’ (kadar) berubah menjadi ‘rape’ (rogol).
Ada juga yang menggunakan ‘rape’ dalam konteks lain, seperti ‘you raped my wallet’ (anda raba dompet saya) dan ini mungkin disebabkan faktor kesilapan penggunaan perbendaharaan kata atau tatabahasa ayat Inggeris betul.
uber1
Pangkalan data yang disebut dalam laporan BuzzFeed itu juga tidak mengecualikan perkataan ‘rape’ daripada nama-nama atau alamat emel yang ada suku kata perkataan tersebut seperti ‘Don Draper’, menurut Uber.
Ia menambah, laporan BuzzFeed itu juga menyertakan perbincangan secara umum tentang mutu perkhidmatan pengangkutan awam bukan Uber dan laporan media tertentu yang tidak disahkan sendiri oleh pihak berkuasa.
BuzzFeed pada 6 Mac lalu mengeluarkan laporan khasnya itu berdasarkan analisis petikan-petikan gambar yang menurut portal tersebut, diberikan kepadanya secara eksklusif oleh bekas wakil perkhidmatan pelanggan Uber.
Secara kebetulan Uber, yang sudah meluaskan perkhidmatannya ke ratusan buah bandar di seluruh dunia giat meningkatkan usaha keselamatannya sejak satu kes rogol sadis oleh seorang pemandunya di India dilaporkan.
Ia malah menyatakan pasukan keselamatannya diwujudkan untuk mengurangkan ‘insiden keselamatan’ dan usaha-usahanya termasuk pelaburan dalam teknologi yang membolehkannya menjejak perjalanan pemandu Uber.
“Kami turut mempunyai sistem kukuh bagi menjalankan pemeriksaan latar belakang setiap pemandu. Malangnya, tiada cara pengangkutan awam yang 100 peratus selamat pada hari ini,” menurut Uber dalam kenyataan tersebut.
“Kemalangan dan insiden akan berlaku. Ini sebab kami usaha memajukan pasukan sokongan pelanggan terbaik, serta dapat urus masalah apabila berlaku, termasuk kerjasama penguatkuasaan undang-undang,” tambahnya.
Kenyataan Uber itu, yang ditujukan kepada BuzzFeed, menyatakan bahawa Uber tidak akan membenarkan laman itu menyemak data keselamatan, kerana ini “satu pencabulan serius privasi penumpang dan pemandu kami.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Post a Comment

Previous Post Next Post