KUALA LUMPUR 1 JANUARI 2015 - Pelakon, Zarina Zainuddin bersama

Arwah neneknya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan tidak seberapa arwah datuk, Abdul Mutalib Rosithullah yang hanya bekerja sebagai juru dandang di hospital berkenaan.
“Saya pernah menemani arwah opah pergi mencuci sebesen besar pakaian jiran di kuarters. Walaupun dia nampak keletihan, dia hanya tersenyum sahaja membuat kerja-kerjanya,” kata pelakon berusia 45 tahun ini mengimbas kenangan lalu.
Malah masih segar dalam ingatan Zarina apabila mereka sekeluarga kerap kali terpaksa menikmati nasi berlaukkan garam, gula atau susu semasa zaman kanak-kanaknya.
Tidak pernah merungut dengan juadah yang disediakan arwah nenek, tambah Zarina, dia juga tidak meminta lauk pauk ‘mahal lagi mewah’ asalkan makanan itu mengenyangkan, sudah memadai buatnya.
“Kalau nak makan lauk pauk seperti ayam atau daging setiap hari, jangan haraplah. Hanya pada acara-acara tertentu saja kami sekeluarga dapat makan yang sedap sebegitu.
“Justeru kalau ada lauk sedap macam itu, kami sekeluarga berebut. Masa itulah akan ada yang menyembunyikan lauk di dalam timbunan nasi,” katanya.
Dalam pada itu, Zarina juga tidak dapat melupakan ketegasan arwah datuknya kerana lelaki itu seorang yang sangat mementingkan disiplin dan mengawal ketat tingkah lakunya.
Mengakui gentar dengan arwah datuk yang terkenal dengan sikap pemarahnya, Zarina memberitahu, kerana itu dia amat berhati-hati dalam melakukan sesuatu.
“Arwah datuk sangat menjaga anak perempuan. Dia tidak suka kami berkawan dengan lelaki. Dia takut kalau ada apa-apa yang tidak baik berlaku.
“Jadi dari kecil sampai berusia belasan tahun, saya tidak dibenarkan berkawan dengan mana-mana lelaki.

SUBANG JAYA , 8 APRIL 2015 - LIPUTAN artis lama, Zarina Zainuddin

“Pernah saya membawa kenalan lelaki beraya ke rumah, arwah datuk nampak dan wajahnya terus berubah. Apabila kawan saya pulang, teruk saya dipukul sampai demam,” ujarnya.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bota Kanan, Perak ini, itu merupakan sebahagian pengalamannya sewaktu tinggal di Seremban sehingga usianya 12 tahun.
Selepas arwah datuknya pencen, mereka kembali menetap di kampung halaman di Bota Kanan. Zarina hanya mendapat ‘kebebasan’ sewaktu ibunya membawa dia berpindah ke Kuala Lumpur pada 1987.  Ketika itu, ibunya sudah berkahwin lain.

Kerjaya

DEK terlalu kerap membaca majalah hiburan dan majalah remaja secara tidak langsung menerbitkan perasaan teruja Zarina untuk menjadi artis.
Malah untuk mereaslisasikan impiannya itu, dia menyertai pertandingan pencarian wajah yang dianjurkan sebuah majalah popular.
“Saya kena masuk pertandingan itu kerana di situ platform untuk saya menjadi artis terbuka luas. Sebab itu saya tidak pernah berputus asa untuk menghantar penyertaan. Syaratnya, perlu mengisi borang dan menghantar sekeping gambar.
“Sudah banyak kali menghantar penyertaan, tetap juga tidak dipanggil. Bagaimanapun selepas saya menghantar gambar yang agak seksi sikit, saya terus diterima.

SUBANG JAYA , 8 APRIL 2015 - LIPUTAN artis lama, Zarina Zainuddin

Dan impian untuk menjadi artis semakin menjadi kenyataan selepas memenangi tempat ketiga pada pertandingan akhir siri pencarian wajah itu,” ceritanya.
Selepas kejayaan itu, Zarina mencuba nasib sebagai pelakon di Sarimah Film Production Sdn. Bhd. dan mendapat tunjuk ajar serta asas lakonan daripada Datuk Sarimah Ahmad.
Bermula dari saat itu, Zarina berpeluang untuk berlakon dalam drama pertamanya berjudul Sumpahan Berdarah diikuti Lirikan Siluman Ular dan Sepasang Mata Maut.
Zarina bertuah kerana suami, Datuk Seri Dr. Abdul Raihan Wan Jaafar yang dikahwini sejak 21 tahun lalu memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan bidang lakonan biarpun sudah berumah tangga.
Awal tahun ini juga, buat julung kalinya Zarina mendedahkan wajah suami dan madunya, Datin Seri Noorhasimah Mohd. Noor kepada umum biarpun selama ini menyimpan kemas rahsia berkenaan.
Zarina berbuat sedemikian kerana tidak mahu masyarakat menimbulkan spekulasi tentang status perkahwinannya terutama selepas kisah dirinya kembali solo bertebaran.
Hasil perkahwinan dengan suami, Zarina dikurniakan empat orang anak iaitu, sepasang kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, Muhammad Naim Azrai, dan Muhammad Adam Azrai.

Arwah Liyana dalam kenangan

KUALA LUMPUR 1 JANUARI 2015 - Pelakon, Zarina Zainuddin bersama

MENGUBAH topik tentang adik tirinya, arwah Liyana Samsudin yang sama-sama menceburi bidang lakonan sekitar era 90-an, kata Zarina, dia menyimpan banyak kenangan bersama-sama wanita itu.
“Arwah Liyana terlebih dahulu memasuki bidang glamor ini berbanding saya. Masa dia berusia 18 tahun lagi dia sudah menjadi artis.
“Jadi kami sering berkongsi cerita. Tapi malangnya hayatnya tidak lama. Arwah Liyana meninggal dunia ketika berusia 32 tahun pada 2010,” ujarnya.
Berkongsi cerita, Zarina memberitahu, arwah Liyana tidak pernah bercerita tentang penyakit paru-paru berair yang dihidapi.
Biarpun mereka tinggal bersama-sama, menurut Zarina, adik tirinya itu kerap berpura-pura sihat di hadapannya.
“Saya cuma tahu arwah Liyana ada penyakit paru-paru selepas dia jatuh pengsan dan  penyakitnya sudah melarat.
“Apabila arwah meminta pulang ke kampung (Ipoh, Perak) untuk menjenguk anak-anaknya selepas mendapat rawatan selama sembilan bulan di hospital, saya melepaskan dia dengan berat hati.
“Dan seminggu kemudian, Liyana sudah tiada,” ujarnya.
Arwah Liyana meninggalkan empat cahaya mata iaitu Mohd. Zariel Alban, 21, Mohd. Iman Alban, 18, dan Habil Iqmal, 17.
Anak bongsunya, Mohd. Syamiel Dasih, 14, meninggal dunia selepas terlibat dalam insiden kemalangan langgar lari di Ipoh baru-baru ini.