Betulkah Melayu didiskriminasi ketika memohon kerja?

Minggu lalu, media sosial gempar dengan berita graduan Melayu mengalami diskriminasi ketika memohon pekerjaan dalam bidang professional.

Tidak hairanlah, berita ini diangkat sesetengah pengguna media sosial sebagai bukti yang bangsa Melayu ditindas di bumi sendiri.

Jika pembaca masih ingat video di YouTube semasa perhimpunan Baju Merah tahun lalu, 2 orang peserta remaja Melayu dilihat lemah penguasaan bahasa Inggeris ketika mempertahankan sokongan mereka kepada Baju Merah. Mereka mengatakan motivasi mereka menyertai perhimpunan itu kerana “Melayu kena tindas”.

Jadi pemikiran ini sememangnya ada dalam minda Melayu: orang Melayu ditindas dan kajian ini adalah buktinya!

Kajian yang mengatakan yang bangsa Melayu mengalami diskriminasi dilakukan bersama Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, di bawah tajuk “Discrimination in high degrees: Race and graduate hiring in Malaysia” (Diskriminasi di peringkat tinggi: Faktor bangsa dan proses pengambilan siswazah untuk pekerjaan di Malaysia). Kajian ini diterbitkan Journal of Asia Pacific Economy.

Ia menghantar lebih 3,000 CV pekerjaan untuk 750 jawatan kosong secara online. Secara ringkas, pengkaji mendapati CV daripada pemohon berbangsa Melayu mendapat respon yang kurang memuaskan berbanding dengan CV daripada kaum Cina.

Secara terperinci, penemuan yang didapati pengkaji ialah seperti berikut: CV Cina mendapat respon balas 22% berbanding dengan CV Melayu iaitu hanya 4%.

Syarikat dikuasai Melayu juga memanggil pemohon berbangsa Cina 1.6 kali lebih banyak daripada pemohon berbangsa Melayu! Pemohon Melayu yang mempunyai CGPA tinggi masih tidak mendapat respon seperti pemohon Cina yang mempunyai CGPA lebih rendah!

Pemohon Melayu yang fasih berbahasa Cina mendapat respon lebih baik daripada mereka yang tidak fasih. Juga menghairankan, penguasaan bahasa Inggeris dan Melayu adalah faktor yang hampir tiada kesan dalam permohonan kerja.

Akhir sekali, syarikat antarabangsa lebih jarang mengambil pemohon Melayu.

Penemuan ini, sekali pandang, boleh menjana persepsi yang siswazah Melayu mengalami diskriminasi, tetapi banyak faktor yang tidak difikirkan. Dalam respon yang diberi dalam laman web Says.com, faktor ini diterangkan selanjutnya.

Saya lebih suka pemikiran yang proaktif. Benarkah siswazah Melayu mengalami diskriminasi?

Mari kita buat andaian yang kajian ini adalah objektif (satu andaian yang amat besar, sebenarnya) dan memikirkan bagaimana diskriminasi ini, jika benar wujud, mungkin berlaku.

Faktor bahasa merupakan satu perkara yang ditonjolkan oleh kajian di atas. Siswazah Melayu yang menguasai bahasa Mandarin mendapat respon lebih baik daripada siswazah yang tiada penguasaan bahasa itu. Mungkin orang-orang Melayu yang nasionalis akan berteriakan “rasis”, “diskriminasi!” dan sebagainya.

Namun, saya ingin bertanya, adakah realiti keperluan sesorang siswazah itu satu diskriminasi?

Semua aktiviti ekonomi ada kebolehan yang dikaitkan dengannya. Pekerjaan di bidang teknologi maklumat pun ada “bahasa” sendiri iaitu bahasa pengaturcaraan (programming language). Pada zaman ini, China menjadi pemain ekonomi yang besar dan dengan itu, berhubung dengan mereka menjadi satu keperluan yang amat besar.

Jadi adakah diskriminasi untuk mengatakan yang keperluan bahasa Mandarin itu satu diskriminasi? Pada saya, kaum Cina mendapat kelebihan kerana mereka mungkin fasih berbahasa Mandarin dan juga bahasa dialek (Kantonis, Hokkien dan sebagainya). Mereka adalah seperti orang berbangsa Arab di London yang mungkin tiada pengetahuan dalam bidang agama Islam tetapi masih boleh bekerja dalam bidang penterjemahan teks agama (satu industri yang pesat).

Kelebihan “nativeness” (sifat keaslian kepada sesuatu bangsa) adalah sesuatu yang amat berharga.
Bangsa Melayu pun boleh mendapat kelebihan ini. Mereka banyak berinteraksi dengan kaum Cina sejak dari zaman sekolah lagi. Tetapi malangnya, kita diselubungi semangat nasionalis yang pekat dan kita menuntut kaum Cina menguasai bahasa kita. Jadi sesuatu kebolehan yang kita sepatutnya kuasai terlepas dengan begitu sahaja.

Bagaimana pula dengan persepsi orang terhadap bangsa Melayu. Kita perlu ingat, sifat yang terserlah kepada kita muncul walaupun atas kertas CV. Mungkin applikasi kerja kita tiada maklumat tentang bangsa (itu pun hanya mungkin, ada permohonan yang meminta maklumat ini dan juga agama!), tetapi dengan nama pemohon sahaja, kita dapat memahami bangsa si pemohon.

“Ahmad bin Abdullah” hampir pasti orang Melayu dan “Yap Ah Loy” sudah tentu berbangsa Cina.
Jadi dengan nama sahaja, satu persepsi tentang pemohon itu akan wujud. Ini bukan unik kepada bangsa Melayu sahaja. Segenap umat Islam mengalami proses ini kerana kita ada tamadun dan budaya sendiri, termasuklah nama tertentu. Orang Arab yang beragama Kristian pun akan terkena persepsi ini kerana mereka mempunyai nama yang sama.

Oleh kerana ciri yang sama, kita akan tergolong dengan orang yang sebangsa atau seagama. Jadi Ahmad bin Abdullah di atas, walaupun mempunyai etika kerja yang baik, kebolehan yang cemerlang dan cita-cita yang tinggi, mungkin akan tergolong dengan “Jamal bin Ali” yang tidak bersifat demikian. Mungkin Jamal suka buang masa dan bila keluar menunaikan sembahyang, berhenti pula berborak dengan rakan sekerja.

Walaupun Ahmad keluar sekejap sahaja untuk bersembahyang, permohonannya akan dipandang serong kerana tindakan Jamal yang menjadi pengalaman pahit bagi majikan tersebut.

Semua tindakan kita akan menjana persepsi untuk orang yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Ini adalah realiti hidup.

Bagi saya, kalau benar penemuan kajian di atas, maka orang Melayu perlu meninggikan ketangkasan mereka di tempat kerja. Ini bukanlah pencapaian yang dapat dilakukan semalaman. Sudah lama orang Melayu dilihat sebagai bangsa yang tidak setangkas bangsa lain dalam mengejar cita-cita walaupun mereka mahukan semua ganjaran.

Video yang viral tahun lepas di mana seorang siswi muda Melayu memberi ucapan merintih dia perlu kongsi rumah walaupun berkerja adalah bukti masalah ini.

Bangsa Melayu terlalu dimanjakan dan perlu bangun daripada tidur nyenyak mereka.

 

Sumber: Free Malaysia Today



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post